
MELAKA: Tidak ramai ahli PKR yang meninggalkan parti itu untuk menyertai Parti Bersama kerana hilang kepercayaan kepada parti dan mahu mengikut langkah bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, meskipun terdapat permohonan keluar parti, namun ia jumlahnya hanya kecil dan tidak menjejaskan kekuatan organisasi parti.
“Ya, saya tidak nafikan memang ada permohonan yang dibuat oleh anggota parti sebelum daripada ini untuk keluar parti. Ada yang memberikan alasan mereka sudah hilang kepercayaan kepada parti dan memilih untuk bersama dengan parti yang ditubuhkan oleh Saudara Rafizi.
“Saya tidak menafikan kewujudan parti baharu yang menyasarkan kelompok pengundi sama boleh memberi sedikit kesan terhadap keputusan pilihan raya negeri baru-baru ini,” katanya dalam sidang media selepas Kongres Nasional AMK dan Wanita Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Justeru itu kata Muhammad Kamil, pengalaman di PRN Johor itu menjadi pengajaran penting kepada PKR bahawa setiap undi amat bernilai dan tidak boleh dipandang ringan.
“Di Bukit Batu dan Perling, kita tewas dengan majoriti yang sangat nipis akibat sedikit perpindahan undi. Kita belajar daripada pengalaman itu bahawa every vote counts,” katanya.
Beliau menegaskan, dalam sistem demokrasi negara, PKR tidak mempunyai hak untuk menghalang mana-mana pihak daripada bertanding dalam pilihan raya.
Sehubungan itu, katanya, tumpuan AMK kini adalah memastikan jentera parti bekerja lebih kuat bagi meraih sokongan sebanyak mungkin daripada semua kelompok pengundi.
Mengulas cadangan AMK supaya had subsidi petrol dinaikkan kepada 300 liter sebulan beliau berkata, perkara itu hanyalah cadangan yang dikemukakan AMK untuk dipertimbangkan kerajaan.
Katanya, cadangan berkenaan dibuat berdasarkan pandangan serta keperluan rakyat yang disuarakan kepada AMK, khususnya berkaitan kos sara hidup dan keperluan mendapatkan sedikit kelegaan ekonomi.
“Cadangan itu adalah cadangan daripada AMK. Kita gunakan ruang yang ada untuk menyatakan pandangan dan pendirian berdasarkan suara anggota serta rakyat.
“Kita yakin jika perkara ini dapat dilaksanakan, kesannya akan merentasi semua segmen masyarakat termasuk kelompok B40 dan M40,” katanya. – UTUSAN
The post Tidak ramai ahli PKR keluar sertai parti Bersama appeared first on Utusan Malaysia.





