Fokus kini perkukuh tadbir urus, laksana syor penambahbaikan TH

LocalPolitics
13 Aug 2026 • 12:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Fokus kini perkukuh tadbir urus, laksana syor penambahbaikan TH

PETALING JAYA: Tumpuan kini perlu beralih kepada usaha memperkukuh tadbir urus, memastikan syor penambahbaikan Lembaga Tabung Haji (TH) dilaksanakan sepenuhnya serta memelihara keyakinan pendeposit dan umat Islam terhadap institusi itu.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya berpandangan bahawa ketelusan telah dilaksanakan dan transformasi sedang berjalan setelah Sidang Khas Dewan Rakyat membuka ruang yang luas untuk penelitian awam terhadap laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) berhubung TH.

Justeru itu katanya, semua pihak perlu mengelakkan tuduhan melulu mengenai dapatan suruhanjaya itu dan membuat penghakiman politik sebelum proses perundangan selesai.

“BN berpandangan bahawa Sidang Khas telah membuka ruang yang luas untuk penelitian awam terhadap laporan RCI Tabung Haji. Ketelusan telah dilaksanakan, perbahasan telah berlangsung, transformasi sedang berjalan. Maka, fokus selepas ini bukan lagi untuk menimbulkan persepsi bahawa ada pihak yang cuba menyembunyikan sesuatu.

“Tetapi untuk memastikan tadbir urus Tabung Haji terus diperkukuh, syor-syor penambahbaikan dilaksanakan sepenuhnya dan keyakinan pendeposit serta umat Islam terhadap institusi Tabung Haji terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Zambry berkata, kajian menyeluruh wajar dibuat mengenai keseluruhan sejarah tadbir urus TH dengan turut membuat penelitian terhadap tempoh-tempoh lain termasuk perkembangan dan keputusan selepas 2020 seperti peranan yang dimainkan oleh Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) sejak penubuhannya sehingga kini.

“Fokus kepada pembaharuan institusi dapatan RCI menyentuh isu tadbir urus, struktur kuasa, pemisahan fungsi dan mekanisme semak imbang.

“Perkara-perkara ini perlu dilihat sebagai asas untuk memperkukuh institusi Tabung Haji, bukan mencari keuntungan politik jangka pendek,” katanya.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, BN menyambut baik usaha penambahbaikan yang telah dilaksanakan, termasuk pelaksanaan syor-syor RCI dan berpandangan bahawa transformasi institusi perlu diteruskan secara konsisten.

“BN ingin mengingatkan bahawa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sejak awal telah menyatakan sokongan supaya laporan RCI didedahkan di Parlimen dan dibahaskan secara khas.

“Malah beliau turut mencadangkan supaya penelitian diperluaskan bagi memastikan ketelusan yang benar-benar menyeluruh. Ini menunjukkan bahawa BN tidak pernah mengambil pendirian untuk menutup ruang penelitian awam terhadap isu TH,” jelasnya.

Katanya, perkara itu sejajar pendirian BN selama ini jelas dan konsisten iaitu tiada apa yang perlu disembunyikan daripada rakyat khususnya kepada 10 juta pendeposit TH.

“Hakikat bahawa laporan RCI telah dinyahklasifikasikan, dibentangkan secara terbuka, dan dibahaskan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat membuktikan bahawa proses ketelusan dilaksanakan melalui saluran institusi negara yang sah.

“RCI ialah mekanisme yang diwujudkan di bawah undang-undang negara untuk menyiasat isu berkepentingan awam. Laporan tersebut perlu diteliti secara objektif, berasaskan fakta dan bukti, bukannya dijadikan bahan penghukuman politik,” katanya. – UTUSAN

The post Fokus kini perkukuh tadbir urus, laksana syor penambahbaikan TH appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved