Allahyarham Darimbang Awang Damit, Ketahui Pahlawan Yang Terlupakan Dari Sejarah Sabah

22 May 2025 • 2:53 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Pahlawan Terbuang dari Mengkabong

Allahyarham Darimbang Awang Damit, Ketahui Pahlawan Yang Terlupakan Dari Sejarah Sabah. Dalam lipatan masa yang kian dilupakan, wujudnya satu kisah tentang keberanian, pengorbanan dan semangat juang yang jarang sekali diangkat ke permukaan – kisah seorang pahlawan dari Mengkabong, Tuaran bernama Allahyarham Darimbang bin Awang Damit.

Sekitar tahun 1897, dalam suasana tegang penjajahan oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBUB), tercetus satu serangan berani oleh gabungan pahlawan tempatan. Serangan ini menyasarkan pengkalan Kompeni di Pulau Gaya – satu benteng penting British di persisiran pantai barat Borneo Utara. Di antara barisan wira yang turut serta adalah Darimbang, Embong, bapa mereka Awang Damit dari Kampung Batu Berani, Mengkabong, dan sepupu mereka, Jamlan bin Awang Matamit dari Kampung Pangalat, Papar.

image is not available

Serangan ini bukan sekadar simbol penentangan, malah satu bentuk amaran bahawa maruah dan kedaulatan bumi mereka tidak mudah dijual beli. Pulau Gaya menjadi padang jarak padang tekukur, meninggalkan luka mendalam buat pihak Kompeni yang tersentak dengan kecekalan anak watan.

Harga Sebuah Pemberontakan

Namun, keberanian itu dibalas dengan kekejaman. Pihak SBUB bertindak balas dengan membakar kampung-kampung pesisir barat, menangkap dan menghukum penduduk Bajau Samah, Brunei dan Dusun – tanpa belas ihsan. Kampung Mengkabong, Likas, Inanam, hingga ke Tempasuk menjadi sasaran utama.

Lebih tragis, demi menyelamatkan nyawa orang awam yang lain, Darimbang bersama Embong, Jamlan dan bapa mereka Awang Damit menyerah diri. Mereka digelar pemberontak dan dijatuhkan hukuman buang negeri, lalu dihantar bekerja secara paksa di lombong arang batu Silimpopon, Tawau.

image is not available

Jejak Keturunan dan Warisan Yang Tersisa

Walaupun hidup dalam pembuangan, semangat mereka tidak pernah padam. Jamlan yang dikatakan mengamalkan ilmu batin dan sering bertapa, dibuang hingga ke Pulau Sebatik. Embong pula mewariskan zuriatnya, Amit Embong, yang menetap di Putatan. Manakala waris-waris Awang Damit masih boleh dijejaki di Kampung Sembulan Lama dan Pengalat Papar.

Kisah ini hanyalah secebis daripada lembaran perjuangan mereka. Banyak lagi kisah yang tidak sempat diceritakan – yang kini hanya hidup dalam ingatan anak cucu dan bisikan generasi terdahulu.

Pahlawan: Bukan Sekadar Nama di Batu Nisan

Dalam masyarakat kita, pahlawan sering digambarkan sebagai tokoh besar yang terpampang di dalam buku teks. Namun, tidak ramai sedar bahawa di sebalik wajah-wajah biasa yang kita temui setiap hari – mungkin tersimpan sejarah pahlawan yang tidak pernah didendang. Mereka bukan saja mempertahankan tanah air dengan senjata, malah dengan pengorbanan, keberanian dan ketabahan yang luar biasa.

Allahyarham Darimbang bin Awang Damit adalah antara mereka. Seorang pahlawan yang terbuang dari tanah asalnya, namun wira sejati dalam sejarah sebenar rakyat Sabah.

Al-Fatihah buat beliau dan semua yang telah berjuang tanpa nama.

Sumber:

1. Nukilan Allahyarham Jeffri Bin Mohd Asi
2. Gambar Keluarga Allahyarham Darimbang Awang Damit Tanjung Batu Laut, Tawau 1961

Baca juga sejarah-sejarah di Pulau Borneo kita: