Malaysia mempunyai bekalan beras yang mencukupi untuk menampung keperluan negara sekurang-kurangnya enam bulan, manakala bekalan ikan pula mampu bertahan sehingga lapan bulan sekiranya berlaku serangan siber yang menyebabkan rangkaian komunikasi terputus.
Kerajaan dah ada persediaan
Memetik laporan daripada Buletin TV3, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan kerajaan sudah mempunyai persediaan bagi memastikan bekalan makanan terus disalurkan kepada rakyat secara fizikal sekiranya sistem digital negara mengalami gangguan.
Berucap pada Forum Cendekiawan Malaysia MADANI Ke-14, beliau berkata ancaman peperangan siber bukan lagi sekadar gambaran masa depan, sebaliknya satu realiti yang perlu diberikan perhatian serius.
“Peperangan pada masa depan ialah peperangan siber. Kita mesti bersedia dari segi mental untuk menghadapi perkara ini,” katanya.

Foto: FB Mohamad Sabu
Rakyat tak perlu panik
Mengulas lanjut, Mohamad meminta orang ramai membayangkan situasi sekiranya negara terputus akses Internet dan siaran televisyen selama seminggu, termasuk kesukaran mendapatkan bekalan makanan melalui saluran biasa.
“Kita boleh tidur, tetapi bagaimana orang ramai hendak memesan beras, ikan atau mendapatkan bekalan makanan?” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa rakyat tidak perlu panik kerana negara mempunyai stok makanan yang mencukupi untuk menghadapi kemungkinan tersebut.
“Dengan izin Allah, tidak perlu panik kerana kita mempunyai stok beras yang mencukupi untuk sekurang-kurangnya enam bulan. Ketika ini, bekalan ikan pula mencukupi untuk lapan bulan, manakala bekalan makanan lain juga tersedia.
“Bagaimanapun, sekiranya berlaku serangan siber sehingga menyebabkan komunikasi terputus, kita bersedia menghantar bekalan makanan secara fizikal melalui ladang,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa langkah persediaan perlu dilakukan lebih awal, termasuk mendidik masyarakat supaya memahami risiko peperangan siber walaupun ancaman berkenaan tidak semestinya berlaku.
“Jika perkara itu tidak berlaku, Alhamdulillah. Namun, persediaan mesti dilakukan dan kita perlu mula mendidik masyarakat supaya bersedia menghadapi peperangan siber pada masa depan,” katanya.

Foto: FB Mohamad Sabu
Dalam pada itu, Mohamad menyifatkan isu keterjaminan makanan dan keselamatan kini menjadi agenda global memandangkan gangguan bekalan makanan boleh memberikan kesan besar kepada sesebuah negara.



![Risiko Serangan Siber: Panic Buying Jadi Topik Hangat, Orang Ramai Ditegur Elak Buat Pembelian Melampau [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/11/panic-buying-cyber-attack.jpeg?t=1793873778)

