Alpha IVF buka pusat rawatan kesuburan bersepadu yang pertama di Jakarta

Business & Finance
20 Oct 2026 • 4:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Alpha IVF buka pusat rawatan kesuburan bersepadu yang pertama di Jakarta Image from: Alpha IVF buka pusat rawatan kesuburan bersepadu yang pertama di Jakarta liza20/10/2026 - 16:05 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Okt – Alpha IVF Group Berhad membuka pusat rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF) sepenuhnya yang pertama di Jakarta, Indonesia sebagai langkah memperluas operasi serantau dan mengukuhkan kedudukannya dalam industri rawatan kesuburan Asia Tenggara.

 

Pusat baharu itu terletak di Biomedical Campus, Bumi Serpong Damai (BSD) City, dalam Zon Ekonomi Khas Banten.

 

Operasi di cawangan terbaharu itu membolehkan kumpulan menawarkan perkhidmatan rawatan kesuburan kepada penduduk Jakarta dan kawasan metropolitan sekitarnya yang mempunyai hampir 42 juta penduduk.

 

Alpha IVF menyasarkan sebanyak 180 kitaran pengambilan telur (OPU) di pusat berkenaan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2027 (FY2027).

 

Pengembangan itu memanfaatkan pengalaman kumpulan berkenaan dalam pasaran Indonesia, yang telah dibina selama lebih 20 tahun menerusi perkhidmatan rawatan kesuburan kepada pesakit dari negara itu.

 

Lebih 10,000 bayi IVF dilahirkan hasil rawatan kepada pesakit Indonesia

Pengarah Urusan Alpha IVF, Datuk Dr. Colin Lee Soon Soo berkata, Indonesia bukan pasaran baharu bagi kumpulan itu, memandangkan lebih 10,000 bayi IVF telah dilahirkan oleh pesakit Indonesia yang menerima rawatan kesuburan di pusat Alpha IVF sepanjang tempoh lebih 20 tahun lalu.

 

“Reputasi yang telah dibina dalam kalangan pesakit Indonesia, termasuk cadangan daripada pesakit terdahulu, dijangka membantu kumpulan itu mengembangkan pangkalan pesakit di pusat baharu Jakarta.

 

“Kumpulan turut berhasrat membangunkan Alpha IVF sebagai platform rawatan kesuburan bernilai tinggi di seluruh Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Tawar teknologi rawatan kesuburan dan kepakaran Malaysia

Pusat rawatan di Jakarta menyediakan rangkaian perkhidmatan reproduktif, termasuk prosedur invasif minimum seperti pembedahan laparoskopi, selain teknologi yang turut digunakan dalam rangkaian pusat Alpha IVF.

 

Antaranya ialah teknologi pembekuan embrio Cryotec® melalui teknik vitrifikasi, pemantauan perkembangan embrio menggunakan teknologi ‘time-lapse’ serta penilaian embrio dengan bantuan kecerdasan buatan (AI).

 

Pasukan klinikal pusat itu akan terdiri daripada tiga doktor tempatan dan pasukan embriologi yang dilatih di Malaysia.

 

Datuk Dr. Colin Lee Soon Soo dan Datuk Dr. Navdeep Singh, kedua-duanya pakar perunding obstetrik dan ginekologi serta pakar kesuburan yang berpangkalan di Alpha IVF Kuala Lumpur, turut berkhidmat sebagai doktor antarabangsa secara berkala bersama pasukan tempatan.

 

Penglibatan mereka bertujuan membawa kepakaran perubatan Malaysia ke Jakarta serta meningkatkan keyakinan pesakit terhadap perkhidmatan yang ditawarkan pusat berkenaan.

 

Manfaat insentif Zon Ekonomi Khas Banten

Kedudukan pusat itu dalam Zon Ekonomi Khas Banten turut membolehkan Alpha IVF memanfaatkan insentif cukai dan operasi yang disediakan di kawasan berkenaan.

 

Biomedical Campus, yang turut menempatkan perkhidmatan sel stem dan rawatan kanser, juga meletakkan pusat berkenaan dalam kelompok kemudahan penjagaan kesihatan khusus yang sedang berkembang.

 

Dengan pembukaan pusat Jakarta, Alpha IVF kini mempunyai rangkaian operasi rawatan kesuburan di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina.

 

Kumpulan itu mengendalikan empat pusat pakar di Malaysia, iaitu Alpha International Women’s Specialists di Kuala Lumpur, Alhaya International Women’s Specialists di Kuala Lumpur, Genesis Specialists di Pulau Pinang dan Alpha International Women’s Specialists di Kota Kinabalu.

 

Selain pusat di Jakarta, kumpulan itu turut mempunyai operasi di Singapura dan Manila, klinik satelit di Indonesia serta pejabat jualan di China bagi memperluas jangkauan pasaran dan pesakitnya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved