Alpha IVF rancang pindahkan penyenaraian ke Pasaran Utama Bursa Malaysia

LocalBusiness & Finance
5 Oct 2026 • 2:09 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Alpha IVF rancang pindahkan penyenaraian ke Pasaran Utama Bursa Malaysia Image from: Alpha IVF rancang pindahkan penyenaraian ke Pasaran Utama Bursa Malaysia liza05/10/2026 - 14:09 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com


KUALA LUMPUR 5 Okt – Alpha IVF Group Berhad merancang untuk memindahkan penyenaraian dan sebut harga keseluruhan saham diterbitkannya daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata cadangan itu akan dilaksanakan menerusi proses pemindahan dipercepatkan di bawah Garis Panduan Ekuiti yang dikeluarkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

 

Pada masa sama, Alpha IVF turut mencadangkan pindaan kepada perlembagaan syarikat bagi memudahkan pelaksanaan pemindahan penyenaraian berkenaan serta memastikan ia mematuhi keperluan penyenaraian Pasaran Utama.

 

Setakat 28 September 2026, modal saham diterbitkan Alpha IVF berjumlah RM119.75 juta, terdiri daripada 4.86 bilion saham biasa termasuk 22.92 juta saham perbendaharaan.

 

Alpha IVF berkata kumpulan itu telah memenuhi syarat yang ditetapkan bagi pemindahan menerusi proses dipercepatkan, termasuk tempoh penyenaraian sekurang-kurangnya 12 bulan dan permodalan pasaran sekurang-kurangnya RM1 bilion bagi tempoh enam bulan sebelum permohonan kepada SC.

 

Rekod keuntungan dan kedudukan kewangan penuhi syarat

Alpha IVF mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 22 Mac 2024 dan setakat tarikh pengumuman telah disenaraikan lebih daripada 12 bulan.

 

Bagi tempoh enam bulan dari 27 Mac 2026 hingga 28 September 2026, permodalan pasaran harian syarikat berdasarkan harga purata wajaran volum berada antara RM1.14 bilion hingga RM1.35 bilion yang melepasi syarat minimum RM1 bilion.

 

Dari segi keuntungan, Alpha IVF merekodkan keuntungan selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat (PATMI) sebanyak RM164.02 juta bagi tiga tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026.

 

Selepas mengambil kira pendapatan bukan berulang atau yang tidak berpunca daripada aktiviti perniagaan biasa, PATMI diselaraskan kepada RM148.90 juta bagi tempoh tiga tahun berkenaan, manakala PATMI diselaraskan bagi tahun kewangan 2026 berjumlah RM47.69 juta.

 

Kumpulan itu turut merekodkan aliran tunai operasi positif masing-masing sebanyak RM59.05 juta pada 2024, RM55.27 juta pada 2025 dan RM66.50 juta pada 2026.

 

Bagi tahun kewangan 2026, Alpha IVF mempunyai tunai dan baki bank sebanyak RM37.01 juta, tiada pinjaman bank, keuntungan terkumpul RM58.04 juta serta nisbah semasa sebanyak 5.31 kali.

 

Alpha IVF mahu tingkatkan profil dalam kalangan pelabur

Alpha IVF berkata cadangan pemindahan itu mencerminkan perkembangan, keuntungan dan kekuatan kewangan kumpulan selepas memenuhi rekod keuntungan yang diperlukan untuk berpindah ke Pasaran Utama melalui proses dipercepatkan.

 

Lembaga pengarah percaya status sebagai syarikat yang disenaraikan di Pasaran Utama akan meningkatkan kredibiliti, reputasi dan pengiktirafan Alpha IVF dalam kalangan pelabur, termasuk pelabur institusi.

 

Pemindahan itu juga dijangka meningkatkan daya tarikan dan kebolehpasaran saham Alpha IVF, selain memberi keyakinan lebih tinggi kepada rakan niaga, pekerja dan pemegang saham.

 

Dari segi pegangan awam, Alpha IVF mempunyai 4,348 pemegang saham awam yang secara keseluruhan memegang kira-kira 31.69% daripada jumlah saham disenaraikan, melebihi keperluan minimum 25% bagi Pasaran Utama. Syarikat juga telah memenuhi keperluan ekuiti Bumiputera.

 

Cadangan berkenaan tidak akan memberi kesan kepada modal saham diterbitkan, pegangan pemegang saham utama, aset bersih, nisbah hutang (gearing), pendapatan dan pendapatan sesaham (EPS) Alpha IVF.

 

Bagaimanapun, pemindahan itu masih tertakluk kepada kelulusan SC, Unit Pematuhan Ekuiti SC, Bursa Malaysia Securities serta pemegang saham Alpha IVF bagi pindaan perlembagaan syarikat. Kelulusan pihak berkuasa atau pihak berkaitan lain juga diperlukan jika berkenaan.

 

Sekiranya tiada perkara tidak dijangka dan semua kelulusan diperoleh, lembaga pengarah menjangkakan cadangan berkenaan dapat diselesaikan pada suku keempat 2026. Permohonan kepada pihak berkuasa berkaitan akan dibuat dalam tempoh dua bulan dari tarikh pengumuman, manakala UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat utama bagi cadangan tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved