liza16/10/2026 - 11:51 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Okt – EI Power Berhad dijangka mencatat peningkatan keuntungan bersih berulang kepada RM47 juta menjelang tahun kewangan 2028 (FY2028), berbanding RM19 juta pada FY2025 disokong pertumbuhan industri pusat data dan permintaan terhadap sistem kuasa sokongan.
RHB Research menjangkakan keuntungan bersih berulang syarikat itu berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 34.6% bagi tempoh FY2025 hingga FY2028 manakala hasil dijangka meningkat daripada RM77 juta kepada RM215 juta dalam tempoh sama.
Firma penyelidikan itu berpandangan EI Power berada pada kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada perkembangan industri pusat data, khususnya menerusi kepakarannya dalam sistem pengagihan bahan api dan penyelesaian kuasa kritikal yang diperlukan bagi memastikan operasi pusat data berjalan tanpa gangguan.
Pertumbuhan kapasiti pusat data buka peluang kontrak
Menurut laporan industri Jones Lang LaSalle (JLL) yang dipetik RHB Research, kapasiti operasi pusat data Malaysia dijangka meningkat lebih dua kali ganda kepada 2.1 gigawatt (GW) menjelang akhir 2026 dengan Johor menjadi antara pemacu utama pertumbuhan itu.
JLL turut mengunjurkan tambahan kapasiti pusat data sebanyak 3.5GW selepas 2026, termasuk 2.7GW di Johor. Perkembangan itu membuka peluang kepada EI Power memandangkan RHB Research menganggarkan setiap 1GW kapasiti pusat data boleh mewujudkan peluang kerja bernilai RM200 juta hingga RM300 juta bagi syarikat itu.
Anggaran berkenaan berdasarkan nilai projek sistem pengagihan bahan api dan penyelesaian kuasa antara RM0.2 juta hingga RM0.3 juta bagi setiap megawatt.
RHB Research berkata kedudukan syarikat dalam pasaran Johor turut menyokong prospek berkenaan.
“EI Power dianggarkan menguasai kira-kira 67% kapasiti pusat data yang sedang beroperasi di daerah Kulai dan sekitar 31% daripada kapasiti pusat data operasi Johor pada akhir 2025,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Tempahan kerja meningkat, sokong pertumbuhan hasil
Selain prospek industri, peningkatan tempahan kerja turut menjadi asas kepada unjuran pertumbuhan EI Power.
Nilai jualan belum dibilkan syarikat meningkat kepada RM219.8 juta pada suku kedua 2026, hampir tiga kali ganda dalam tempoh sembilan bulan. EI Power turut memperoleh anggaran RM193 juta tempahan baharu pada separuh pertama 2026, termasuk kontrak bernilai RM90.1 juta yang diperoleh pada Jun, iaitu kontrak tunggal terbesar syarikat setakat ini.
Pada masa sama, nilai keseluruhan tender yang sedang dibida mencecah RM575 juta pada suku kedua 2026. RHB Research menjangkakan tempahan sedia ada terus menyumbang kepada hasil sehingga FY2027, manakala kejayaan memperoleh kontrak baharu akan menjadi faktor penting untuk mengekalkan pertumbuhan pada tahun berikutnya.
Firma penyelidikan itu menganggarkan 60% hingga 70% daripada jualan belum dibilkan bernilai RM193 juta pada akhir Ogos 2026 akan diiktiraf sebagai hasil dalam tempoh 12 bulan berikutnya.
RHB Research turut mengunjurkan EI Power memperoleh purata RM210 juta tempahan baharu setahun sepanjang tempoh unjuran, dengan mengambil kira kadar kejayaan bidaan sekitar 30% hingga 40%.
Perluaskan operasi ke Thailand
Selain pasaran domestik, EI Power sedang membida projek berkaitan pusat data bernilai kira-kira RM91 juta di Thailand. Bagaimanapun, kerajaan negara itu membekukan kelulusan projek pusat data baharu sementara menunggu pembangunan rangka kerja kawal selia industri berkenaan.
RHB Research melihat langkah itu berkemungkinan bersifat sementara, namun tidak memasukkan potensi kontrak Thailand dalam unjuran kewangannya kerana kelulusan projek masih belum dimuktamadkan. - DagangNews.com






