
AMANAH Desak PDRM, SPRM Siasat Dakwaan Salah Urus Tabung Haji Berdasarkan Laporan RCI
Pendedahan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan salah tadbir urus dalam pengurusan Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020 perlu disusuli dengan siasatan segera oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Faiz Fadzil.
Faiz berkata, tindakan itu penting bagi memastikan segala dapatan yang terkandung dalam laporan RCI dapat disiasat secara menyeluruh, sekali gus memulihkan keyakinan pendeposit terhadap institusi kewangan Islam berkenaan.
Menurutnya, Tabung Haji merupakan institusi yang dibina hasil simpanan umat Islam dan menjadi kebanggaan negara, justeru sebarang dakwaan salah urus tidak boleh dipandang ringan.
"Pendedahan ini amat mengecewakan kerana Tabung Haji adalah institusi yang diwujudkan hasil titik peluh pendeposit dan menjadi antara institusi kewangan Islam yang dibanggakan negara," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Baca juga:Beliau berkata, pihak yang selama ini membawa slogan "penyatuan umat" sepatutnya turut bersuara mempertahankan integriti Tabung Haji ketika isu salah urus didakwa berlaku.
Menurut Faiz, Islam menolak sebarang bentuk penyelewengan dan perjuangan membela umat seharusnya turut memberi penekanan terhadap usaha membanteras salah guna kuasa, bukan sekadar tertumpu kepada agenda politik.
Dalam pada itu, beliau turut merujuk kepada dapatan RCI yang mengiktiraf pelan pemulihan Tabung Haji yang dilaksanakan ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, ketika portfolio Menteri Kewangan disandang oleh Lim Guan Eng.
Sehubungan itu, ujarnya, masyarakat perlu menilai isu berkenaan secara objektif tanpa dipengaruhi sentimen perkauman kerana salah laku tidak mengenal kaum.
Mengulas dakwaan bahawa laporan RCI tidak mendedahkan sebarang kesalahan jenayah secara khusus, Faiz berkata laporan tersebut tetap merekodkan kerugian pelaburan membabitkan beberapa anak syarikat Tabung Haji yang memerlukan siasatan lanjut oleh PDRM dan SPRM.
Beliau berkata, RCI tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan sama ada sesuatu perbuatan itu merupakan kesalahan jenayah atau mengenal pasti individu yang bertanggungjawab kerana perkara tersebut terletak di bawah bidang kuasa agensi penguat kuasa.
Katanya, tindakan segera daripada pihak berkuasa amat penting bagi memastikan integriti Tabung Haji terus dipelihara serta mengembalikan keyakinan para pendeposit terhadap institusi berkenaan.





