Amanah tawar khidmat guaman percuma penerima LOD Asyraf Wajdi

LocalPolitics
17 Aug 2026 • 12:43 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Amanah tawar khidmat guaman percuma penerima LOD Asyraf Wajdi

PETALING JAYA: Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada individu yang menerima surat tuntutan (LOD) daripada Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, berhubung isu Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).

Ahli Jawatankuasa Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda dan Azri Abdullah berkata, tindakan mengemukakan LOD terhadap individu yang membangkitkan persoalan berkaitan isu Tabung Haji dilihat terlalu drastik dan keterlaluan.

Katanya, Asyraf Wajdi selaku bekas bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan ahli politik berpengalaman sepatutnya memahami bahawa isu TH membabitkan kepentingan awam, khususnya umat Islam di negara ini.

“Tindakan Datuk Dr. Asyraf yang sibuk menghantar LOD seolah-olah menunjukkan beliau terlalu takut dengan sebarang komen dan kebimbangan yang disuarakan rakyat marhaen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadhli Umar dan Azri berkata, kritikan atau persoalan yang dibangkitkan rakyat sepatutnya dijawab dengan jelas, tuntas dan berhemah, bukannya melalui tindakan undang-undang.

Pemuda Amanah turut mempersoalkan tindakan Asyraf Wajdi yang didakwa meletakkan gambar seorang individu dalam tindakan berkaitan LOD, walaupun individu terbabit dikatakan tidak menyebut namanya secara langsung.

“Bahkan, tindakan Datuk Dr. Asyraf dilihat keterlaluan apabila beliau sendiri bertindak meletakkan gambar seorang individu yang langsung tidak menyebut nama beliau tetapi telah dikongsi oleh individu lain dan menggambarkan seolah-olah individu tersebut telah memfitnah beliau,” katanya.

Sehubungan itu, Pemuda Amanah berkata tawaran khidmat guaman pro bono dibuat bagi membantu rakyat yang menerima LOD, terutama mereka yang hanya meminta penjelasan atau maklum balas daripada Asyraf Wajdi berhubung isu RCI Tabung Haji.

“Kami ambil maklum bahawa ramai yang menerima LOD ini adalah rakyat marhaen dan bukan elit politik yang mampu mempertahankan diri mereka di mahkamah kelak,” katanya.

Jumaat lalu, Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO mengarahkan peguamnya, Datuk Adnan Seman, menyerahkan LOD bagi memulakan saman fitnah berjumlah RM5 juta terhadap pemilik akaun media sosial yang didakwa memfitnah serta memburukkan reputasinya dengan mengaitkannya dengan pelbagai isu berkaitan TH.

Beliau berkata, LOD itu akan mula disediakan dan diserahkan secara berperingkat kepada pemilik akaun terbabit. – UTUSAN 

The post Amanah tawar khidmat guaman percuma penerima LOD Asyraf Wajdi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved