Sebelum ini Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah mengarahkan peguam, Datuk Adnan Seman untuk menyerahkan Notis Tuntutan (LOD) bagi memulakan saman fitnah yang bernilai RM5 juta ke atas dua pemilik akaun media sosial.
Pemilik akaun terbabit telah didakwa memfitnah dan memburukkan reputasi dengan mengaitkan beliau dengan isu berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH), lapor Berita Harian.
Pemuda Amanah tawar khidmat guaman percuma, sifatkan tindakan Asyraf Wajdi keterlaluan
Terbaharu Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) iaitu Fadhli Umar Aminolhuda dan Azri Abdullah telah menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada mana-mana pihak yang menerima surat LOD daripada Asyraf Wajdi.
Menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook, mereka mengatakan tindakan Asyraf Wajdi berbuat demikian terlalu drastik dan keterlaluan dari seorang ahli politik senior.
Tindakan Asyraf Wajdi hantar LOD tunjuk terlalu takut
“Sebagai mantan Timbalan Menteri Agama (2015) dan seorang ahli politik senior, Asyraf Wajdi seharusnya faham bahawa isu Tabung Haji ini merupakan isu terkait kepentingan awam khususnya orang Melayu Islam yang mana beliau merupakan orang nombor dua mengikut hirerarki kementerian yang bertanggungjawab ke atas Tabung umat Islam tersebut.
“Tindakan Asyraf yang sibuk menghantar LOD seolah-olah menunjukkan Asyraf Wajdi terlalu takut dengan sebarang komen dan kebimbangan yang disuarakan oleh rakyat marhaen sedangan sebagai mantan Timbalan Menteri dan ahli politik, sepatutnya tindakan Asyraf ialah menjawab segala kritikan dengan jelas, tuntas dan berhemah,” katanya.
Malah mereka juga menyifatkan ia dilihat keterlaluan apabila Asyraf sendiri bertindak meletakkan gambar seorang individu yang langsung tidak menyebut nama beliau tetapi telah dikongsi oleh individu lain serta menggambarkan seolah-olah individu berkenaan telah memfitnahnya.
Khidmat guaman secara pro bono ditawarkan kepada mana-mana individu yang terima LOD dari Asyraf Wajdi
Oleh itu, pemuda Amanah menawarkan khidmat guaman secara pro bono kepada mana-mana individu yang sudah menerima LOD dari Asyraf khususnya meraka yang hanya meminta maklum balas oleh ahli politik terbabit.
“Kami ambil maklum bahawa ramai yang menerima LOD ini adalah rakyat marhaen dan bukan elit politik yang mampu mempertahankan diri mereka di mahkamah kelak.”
LOD dihantar kerana penyebaran dakwaan yang tidak betul selain didakwa ada niat jahat
Terdahulu, Asyraf Wajdi memaklumkan LOD terbabit akan mula disediakan serta diserahkan secara berperingkat kepada pemilik akaun media sosial tersebut.
Menurut beliau tindakan menghantar LOD itu kerana penyebaran dakwaan yang tidak benar serta didakwa mempunyai niat jahat untuk:
- Memburukkan nama
- Menjatuhkan reputasi
- Mencemarkan maruah
“Saya telah mengarahkan peguam saya, Adnan untuk menyerahkan LOD bagi memulakan saman fitnah sebanyak RM5 Juta kepada pemilik-pemilik akaun yang memfitnah dan sengaja mahu memburukkan dan menjatuhkan reputasi saya dengan mengaitkan dengan pelbagai isu TH.
“Insya-Allah bermula petang ini (14 Ogos), secara berperingkat LOD akan mula disediakan dan diserahkan kepada pemilik akaun yang berniat jahat untuk memburukkan nama, menjatuhkan reputasi dan mencemarkan maruah saya melalui penyebaran dakwaan yang tidak benar,” ujarnya.







