
SEREMBAN – Pasangan suami isteri antara lima individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan insentif Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada 2024.
Tertuduh M.S. Gunaseelan, 45, sebagai pemilik sebuah syarikat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu, manakala isterinya S.Theen Malar, 45, dan rakan, A.S.Shisman, 45, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat.
Dua lagi pemilik syarikat berlainan, Yeong Chee Keong, 46, dan G. Mageswary, 38, juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengemukakan borang tuntutan palsu Perkeso.
Kelima-lima tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.
Mengikut pertuduhan, Gunaseelan, Chee Keong dan Mageswary masing-masing sebagai pemilik syarikat berlainan didakwa dengan niat memperdayakan prisipalnya telah mengemukakan keseluruhan tujuh Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 yang mengandungi penyataan palsu kepada dua ejen Perkeso.
Kesalahan itu dilakukan antara 11 Mac hingga 15 April 2024 di Taman Senangin, Taman Nyior dan Pusat Komersial Rasah Prima di sini.
Sehubungan itu, tiga pemilik syarikat telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Syairah Aqilah Khalil, manakala kesemua lima tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan Gunaseelan dan Shisman dijamin RM12,000, Theen Malar sebanyak RM10,000, Chee Keong RM40,000 dan Mageswary RM16,000, manakala tarikh sebutan semula pada 7 September depan. – KOSMO! ONLINE
The post Suami isteri antara lima didakwa tuntutan palsu insentif Perkeso appeared first on Kosmo Digital.






