SHAH ALAM - Ribut petir dan hujan lebat melanda beberapa kawasan di dua negeri iaitu Sarawak dan Sabah pada Khamis, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
MetMalaysia menerusi kenyataan di media sosial memaklumkan keadaan cuaca berkenaan dijangka berterusan sehingga jam 6 petang, 20 Ogos.
Di Sarawak, kawasan yang terlibat antaranya Kuching, Kapit (Song dan Kapit), Sibu (Kanowit), Sarikei (Julau), Mukah (Dalat) dan Limbang.
Di Sabah pula, kawasan yang terlibat termasuk Sandakan (Kinabatangan, Labuk dan Sugut, Telupid, Paitan dan Sandakan) serta Tawau (Lahad Datu).
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di beberapa kawasan Sarawak sehingga jam 5 petang, membabitkan Bintulu (Tatau), Miri (Marudi, Subis, Beluru dan Miri), Sibu (Selangau) dan Mukah (Mukah).
Orang ramai di kawasan terlibat dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca dan mendapatkan maklumat terkini daripada MetMalaysia.





