Tiga pekerja kebun didakwa bunuh Rosdi

20 Aug 2026 • 7:08 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tiga pekerja kebun didakwa bunuh Rosdi

KUALA LANGAT – Tiga pekerja kebun warga Indonesia berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh pengusaha kebun sawit, dua minggu lalu.

Tertuduh iaitu Indra Apriyan, 22, Dedi Saputra, 33, dan Eko Hariyanto, 39, hanya mengangguk tanda faham, namun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Maslinda Selamat.

Mereka didakwa bersama-sama membunuh Rosdi Tulus, 49, di kawasan kebun kelapa sawit di Kebun 55, Jalan Kampung Sungai Kelambu, Banting, di sini pada pukul 11 pagi, 9 Ogos lalu.

Oleh itu, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun, serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika hukuman mati tidak dijatuhkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Syafiq Yazid.

Tiada jaminan diberikan terhadap ketiga-tiga lelaki tersebut dan sebutan semula kes ditetapkan 22 September depan.

Dalam pada itu, kesemua mereka dihukum penjara enam bulan bermula dari tarikh tangkap pada 9 Ogos lalu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki Malaysia tanpa dokumen sah.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, pada pukul 9 malam, 19 Ogos lalu

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya, selain sebatan tidak lebih enam kali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, seorang lagi lelaki warga negara sama, Suyono, 47, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Mahkamah lelaki itu tidak dibenarkan ikat jamin dan sebutan semula kes ditetapkan 17 September depan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan pertengkaran akibat kecurian peralatan pekebun dan buah kelapa sawit dipercayai menjadi punca seorang pengusaha kebun mati dibunuh di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Kelambu, Banting di sini.

Nasriza Kairi, 45, yang merupakan balu Allahyarham Rosdi berharap hukuman setimpal dikenakan kepada mereka dengan arwah suaminya semasa kejadian hanya mengetahui siapa yang mengambil peralatan kebunnya. – KOSMO! ONLINE

The post Tiga pekerja kebun didakwa bunuh Rosdi appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved