Rizq Adam, Wang Xin Yao raih dua emas golf SUKMA

20 Aug 2026 • 7:26 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Rizq Adam, Wang Xin Yao raih dua emas golf SUKMA

SHAH ALAM: Dua pemain muda, Rizq Adam Rohizam dan Wang Xin Yao mencuri tumpuan di Glenmarie Golf & Country Club apabila masing-masing membolot dua pingat emas dalam acara golf Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini selepas mengungguli kategori individu sebelum membantu negeri masing-masing menjuarai acara berpasukan.

Rizq yang mewakili Selangor muncul juara individu lelaki selepas menampilkan aksi cemerlang pada pusingan terakhir untuk mengumpul 14 bawah par 202 pukulan, manakala Wang dari Perak turut mencipta kejayaan sama dalam kategori individu wanita dengan catatan enam bawah par 210 pukulan.

Lebih manis buat kedua-dua pemain itu apabila mereka turut membantu negeri masing-masing meraih emas dalam acara berpasukan, sekali gus melengkapkan koleksi dua emas pada temasya kali ini.

Rizq, menutup saingan individu lelaki dengan penuh bergaya apabila mencatat tujuh bawah par 65 pukulan pada pusingan terakhir untuk menamatkan pertandingan dengan kelebihan tujuh pukulan.

Pemain Selangor itu mencatat empat bawah par di sembilan lubang pertama sebelum menambah tiga bawah par di sembilan lubang kedua.

Image from: Rizq Adam, Wang Xin Yao raih dua emas golf SUKMA
Barisan pemain Selangor dan Perak bergambar kenangan selepas meraih pingat emas dalam acara berpasukan lelaki dan wanita dalam acara golf SUKMA Selangor 2026 di Glenmarie Golf & Country Club hari ini. – UTUSAN/AMRAN MULUP

Aksi cemerlang itu hadir menerusi tujuh birdie, satu eagle dan dua bogey, sekali gus membolehkannya mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu dan mengesahkan pingat emas di hadapan pencabar lain.

Pingat perak kategori individu lelaki menjadi milik Anson Yeo Boon Xiang dari Sarawak yang mengumpul tujuh bawah par 209 pukulan, manakala Maverick Chua dari Johor pula meraih gangsa dengan catatan tiga bawah par 213 pukulan.

Dalam acara berpasukan lelaki pula, Rizq sekali lagi memainkan peranan penting membantu Selangor muncul juara selepas mengumpul 645 pukulan.

Wilayah Persekutuan terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mengumpul 660 pukulan manakala Johor meraih gangsa dengan 665 pukulan.

Mengulas kejayaannya, Rizq berkata, kualiti pukulan driving dan putting yang lebih baik berbanding hari sebelumnya menjadi antara kunci utama yang membantunya menghasilkan keputusan terbaik pada pusingan terakhir.

“Banyak perkara boleh berlaku dalam tempoh setahun. Jika saya mampu mempamerkan persembahan cemerlang di AS dan juga di tanah air, serta mendapat panggilan ke Sukan SEA, saya sedia memberikan yang terbaik,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang.

Sementara itu, Wang turut mencipta kejayaan berganda apabila muncul juara individu wanita selepas mengumpul enam bawah par 210 pukulan keseluruhan.

Pemain Perak itu mengetepikan pemain Sabah, Jamie Tan Huan Ying yang meraih pingat perak dengan 219 pukulan, manakala pingat gangsa menjadi milik Alya Afza Hazari dari Kedah selepas mengumpul 223 pukulan.

Wang kemudian melengkapkan kejayaan dua emas apabila membantu Perak menjuarai acara berpasukan wanita dengan catatan keseluruhan 669 pukulan.

Selangor pula meraih pingat perak dengan 684 pukulan, manakala Wilayah Persekutuan membawa pulang gangsa selepas mengumpul 690 pukulan. – UTUSAN

The post Rizq Adam, Wang Xin Yao raih dua emas golf SUKMA appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved