
SHAH ALAM, 1 OGOS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda Selangor sehingga jam 7 malam ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu, MetMalaysia memaklumkan amaran sama turut melibatkan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Selain itu, cuaca buruk turut dijangka berlaku di beberapa kawasan di Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah.
Di Negeri Sembilan, kawasan terlibat ialah Jelebu dan Seremban, manakala di Johor membabitkan Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing dan Pontian.
MetMalaysia menjelaskan amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi sejam.
Menurut agensi itu, amaran berkenaan merupakan amaran jangka pendek yang sah bagi tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.







