Amat ‘pelik’ dakwa Ismail Sabri tidak isytihar harta- Peguam

LocalPolitics
27 Aug 2026 • 11:58 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Amat ‘pelik’ dakwa Ismail Sabri tidak isytihar harta- Peguam
Amer Hamzah (kiri) ketika berada di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis. Foto: Sinar Harian/ Ahmad Ismadi Ismail

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Peguam kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pertuduhan tidak mengisytiharkan harta, termasuk wang tunai RM14.7 juta, jutaan mata wang asing serta lima jongkong emas yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu sebagai pelik dan janggal.

Mata wang asing terbabit terdiri daripada SG$6.1 juta, AS$1.46 juta, CHF3 juta, €12.16 juta, ¥363 juta, £50,250, NZ$44,600, AE$34.7 juta dan AU$352,850.

Semasa prosiding, peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, pihak pendakwaan sebelum ini telah membuat permohonan pelucuthakan harta di bawah Seksyen 41 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Seksyen berkenaan memperuntukkan kuasa berkaitan pelucuthakan harta yang disita apabila tiada pendakwaan jenayah dilakukan.

“Ada perisytiharan oleh pihak pendakwaan sebelum ini yang mengesahkan bahawa, selepas kertas siasatan diteliti, tiada pendakwaan akan dijalankan ke atas Ismail Sabri.

“Bagaimanapun, sekarang atas sebab yang sangat pelik, kami dimaklumkan pendakwaan diteruskan walaupun kuasa di bawah Seksyen 41 Akta SPRM telah digunakan.

“Ini mewujudkan keadaan yang amat pelik dan unik,” katanya yang hadir bersama peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam, Ragunath Kesavan, Joshua Tay, Tan Xu Yin, Jason Anthony dan Ashwath Ramakrishnan.

Susulan itu, beliau berkata, pihak pembelaan akan meneliti pertuduhan berkenaan dan berhak mencabar kewajaran serta kesahihannya.

Mengikut pertuduhan, Ismail Sabri didakwa sengaja memberikan pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bertarikh 7 Januari 2025.

Notis berkenaan telah dihantar kepadanya oleh seorang pegawai SPRM pada 10 Januari 2025, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta di Ibu Pejabat SPRM, Presint 7, Putrajaya pada 7 Februari 2025.

Harta itu melibatkan wang tunai RM14,772,150, SG$6.1 juta, AS$1.46 juta, CHF3 juta, €12.16 juta, ¥363 juta, £50,250, NZ$44,600, Dirham Emiriah Arab Bersatu AED34.7 juta dan AU$352,850.

Ia termasuk lima jongkong emas Petak Suisse Fine Gold seberat satu kilogram setiap satu, selain satu jongkong perak Petak Suisse Fine Silver seberat 100 gram dan satu syiling emas 999 Fine Gold (lima gram).

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda maksimum RM100,000.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan mencadangkan jaminan ditetapkan pada RM500,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia, termasuk syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Selepas mendengar permohonan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, Hakim, Suzana Hussin membenarkan Ismail Sabri diikat jamin sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin terdiri daripada ahli keluarga.

Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan permohonan pendakwaan supaya pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Pada Julai 2025, SPRM memohon kepada Mahkamah Sesyen di sini untuk melucutkan hak hampir RM170 juta yang dirampas ketika siasatan.

Pada 1 Oktober 2025, Mahkamah Sesyen mengarahkan wang itu dilucutkan hak kepada kerajaan selepas tiada pihak ketiga tampil menuntut dana berkenaan dan tiada bantahan difailkan terhadap permohonan pelucuthakan tersebut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved