
KUALA LUMPUR -,Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dibebaskan dengan jaminan RM300,000 selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengisytiharkan aset.
Jaminan berkenaan dibayar anaknya bagi pihak Ahli Parlimen Bera berusia 66 tahun itu.
Ismail Sabri keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini dengan disambut sekumpulan penyokong yang sudah menunggu lebih dua jam di lobi kompleks berkenaan.
Ketika ditemui pemberita, beliau enggan mengulas lanjut mengenai pertuduhan dihadapinya, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad, serta pasukan guaman beliau.
Bagaimanapun, beliau menjawab ringkas “Ya” ketika ditanya mengenai keadaan kesihatannya.
Sebelum meninggalkan kompleks mahkamah, Ismail Sabri turut meluangkan masa menyapa penyokong dan bersalaman dengan beberapa daripada mereka.
Kumpulan penyokong berkenaan dilaporkan datang dari Bera semata-mata untuk memberikan sokongan kepada bekas perdana menteri itu.
Turut kelihatan di mahkamah ialah bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, dan bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob.
Ismail Sabri kemudiannya diiringi sekumpulan penyokong ketika menuju ke kenderaannya.
Terdahulu, bekas Naib Presiden UMNO itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana gagal mematuhi notis SPRM yang menghendaki beliau mengisytiharkan asetnya.
Pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin, sebelum Ismail Sabri mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.
“Saya faham, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM kerana gagal mematuhi syarat notis pengisytiharan aset yang dikeluarkan agensi antirasuah berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Ismail Sabri didakwa gagal mengisytiharkan aset bernilai jutaan ringgit serta sejumlah besar mata wang asing, termasuk RM14,772,150, S$6,132,350, AS$1,461,400, CHF3 juta, €12,164,150, ¥363 juta, £50,250, NZ$44,600, AED34.75 juta dan A$352,850.
Senarai aset berkenaan turut merangkumi jongkong emas tulen Suisse seberat lima kilogram, jongkong perak tulen Suisse seberat 100 gram serta syiling emas 999 seberat lima gram.
Beliau sebelum ini telah beberapa kali dipanggil untuk memberikan keterangan kepada SPRM berhubung pengisytiharan asetnya.
Dalam siasatan tersebut, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing, selain menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta.
Rampasan itu dilakukan ketika SPRM menjalankan pemeriksaan di sebuah kediaman dan pejabat yang dipercayai digunakan sebagai “safe house”, susulan siasatan terhadap empat pegawai kanan Ismail Sabri, selepas mereka ditahan pada Februari 2025. - Getaran, 27 Ogos 2026






