Gagal Isytihar Aset, Ismail Sabri Mengaku Tak Bersalah, Minta Dibicara

LocalPolitics
27 Aug 2026 • 10:46 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Gagal Isytihar Aset, Ismail Sabri Mengaku Tak Bersalah, Minta Dibicara

KUALA LUMPUR - Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menghendakinya mengisytiharkan aset.

Ahli Parlimen Bera berusia 66 tahun itu membuat pengumuman sedemikian selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Saya faham, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM kerana gagal mematuhi syarat notis pengisytiharan aset yang dikeluarkan oleh agensi antirasuah berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Ismail Sabri didakwa gagal mematuhi notis SPRM yang menghendakinya mengisytiharkan sejumlah aset, termasuk RM14,772,150, S$6,132,350, AS$1,461,400, CHF3 juta, €12,164,150, ¥363 juta, £50,250, NZ$44,600, AED34.75 juta dan A$352,850.

Turut disenaraikan ialah seketul jongkong emas tulen Suisse seberat lima kilogram, seketul jongkong perak tulen Suisse seberat 100 gram serta sekeping syiling emas 999 seberat lima gram.

Sebelum ini, Ismail Sabri telah beberapa kali dipanggil SPRM untuk memberikan keterangan berhubung pengisytiharan asetnya kepada suruhanjaya itu.

Dalam siasatan berkenaan, SPRM turut menyita wang tunai berjumlah RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing, selain merampas 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai kira-kira RM7 juta.

Rampasan tersebut dilakukan susulan serbuan ke atas sebuah kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan sebagai safe house, dalam siasatan membabitkan penahanan empat pegawai kanan Ismail Sabri pada Februari 2025.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan, bertindak sebagai pendakwa, manakala Ismail Sabri diwakili pasukan peguam yang diketuai Datuk Amer Hamzah Arshad.

Ismail Sabri pada asalnya dijadualkan hadir ke mahkamah pada 7 Ogos, namun prosiding itu ditangguhkan selepas beliau dimasukkan ke hospital susulan masalah kesihatan.

Sebelum ini, Amer Hamzah dilaporkan berkata, bekas Naib Presiden UMNO itu mengalami komplikasi kesihatan ketika keterangannya dirakam di ibu pejabat SPRM pada 6 Ogos.

Beliau kemudiannya menjalani prosedur pemasangan perentak jantung tanpa wayar (leadless pacemaker) bagi merawat masalah rentak jantung yang tidak normal.

Ismail Sabri kekal dibebaskan dengan jaminan SPRM dan peguamnya menegaskan, tiada kebimbangan bahawa beliau akan melarikan diri atau menghilangkan diri daripada prosiding.

Beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia kesembilan, berkhidmat dari Ogos 2021 hingga November 2022. - Getaran, 27 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved