Pendakwaan cadangkan Ismail Sabri dijamin setengah juta

LocalPolitics
27 Aug 2026 • 12:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pendakwaan cadangkan Ismail Sabri dijamin setengah juta
Ismail Sabri didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, atas satu pertuduhan tidak mengisytiharkan harta iaitu wang tunai RM14.7 juta, jutaan mata wang asing serta lima jongkong emas, tahun lepas. Foto: Sinar Harian/Rosli Talib.

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan dalam kes gagal mengisytiharkan wang tunai RM14.7 juta, jutaan mata wang asing serta lima jongkong emas membabitkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan kepada Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis supaya bekas Perdana Menteri itu diberi ikat jamin sebanyak RM500,000.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan pada mulanya tidak mencadangkan pemimpin UMNO berusia 66 tahun itu diberi ikat jamin kerana kesalahan berkenaan termasuk dalam kes yang tidak boleh diberi jaminan.

Menurutnya, Ismail Sabri didakwa di bawah kesalahan yang tidak boleh dijamin mengikut Seksyen 388(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara untuk melepaskan tertuduh dengan jaminan, pihaknya memohon kadar itu ditetapkan pada nilai yang tinggi.

"Mahkamah perlu mengambil kira amaun wang yang terlibat dalam kes ini sangat tinggi iaitu mencecah jutaan ringgit, tidak termasuk jutaan mata wang asing dan beberapa jongkong emas.

"Yang Arif, disebabkan kesalahan ini membabitkan seorang tokoh politik berprofil tinggi, jadi kami mencadangkan jaminan ditetapkan pada RM500,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia, termasuk syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah," katanya.

Pada prosiding itu, Farah Ezlin dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin dan Nurul Qistini Qamarul Abrar.

Beliau berkata, jumlah wang yang terbabit dalam pertuduhan itu amat besar dan menunjukkan tertuduh mempunyai kemampuan kewangan lebih daripada mencukupi untuk menyediakan jumlah jaminan berkenaan.

Menyentuh syarat tambahan itu, beliau berkata, tertuduh mempunyai jaringan hubungan yang luas di peringkat antarabangsa, sekali gus menunjukkan wujud risiko untuk melarikan diri.

Katanya, jika dokumen perjalanan antarabangsa itu tidak diserahkan kepada mahkamah, ia akan menyukarkan usaha pihak pendakwaan untuk menjejaki keberadaannya kelak.

Pada Khamis, bekas Naib Presiden UMNO itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin, atas satu pertuduhan tidak mengisytiharkan harta iaitu wang tunai RM14.7 juta, jutaan mata wang asing serta lima jongkong emas, tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Ismail Sabri didakwa sengaja memberikan pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bertarikh 7 Januari 2025.

Ia membabitkan kesalahan tidak mengisytiharkan harta di Ibu Pejabat SPRM, Presint 7, Putrajaya pada 7 Februari 2025.

Harta itu melibatkan wang tunai RM14,772,150 serta mata wang asing SG$6.1 juta, AS$1.46 juta, CHF3 juta, €12.16 juta, ¥363 juta, £50,250, NZ$44,600, AE$34.7 juta dan AU$352,850.

Ia termasuk lima jongkong emas Petak Suisse Fine Gold seberat satu kilogram setiap satu, selain satu jongkong perak Petak Suisse Fine Silver seberat 100 gram dan satu syiling emas 999 Fine Gold seberat lima gram.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda maksimum RM100,000.

Selepas mendengar permohonan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, Suzana membenarkan Ismail Sabri diikat jamin sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin terdiri daripada ahli keluarga.

Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan permohonan pendakwaan supaya pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved