Amazon Kini Menggunakan 1 Juta Robot Di Gudang-Gudang Mereka, Memperkenalkan Teknologi AI DeepFleet

TechnologyDigital
2 Jul 2025 • 2:57 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Amazon mengumumkan bahawa mereka telah memperkenalkan robot kesejuta mereka di gudang mereka di Jepun baru-baru ini. Pengumuman ini dibuat oleh Scott Dresser, Timbalan Presiden Amazon Robotics.

image is not available

Ia juga menandakan bahawa Amazon kini mempunyai 300 lokasi di seluruh dunia yang menggunakan pelbagai jenis robot dalam operasi harian mereka, sekaligus menjadikan Amazon sebagai syarikat pengeluar dan pengguna robot mudah alih nombor satu di dunia.

Dalam pada itu, beliau juga mengumumkan penggunaan teknologi AI generatif baru yang dinamakan DeepFleet. Teknologi AI ini dikatakan akan mempercekapkan laluan robot-robot Amazon dan mempercepatkan pergerakan mereka sebanyak 10 peratus.

image is not available

Scott menyamakan teknologi AI ini seperti sistem trafik pintar yang membolehkan kenderaan-kenderaan di jalan raya bergerak dengan cepat. Dengan pengautomasian hala-tuju robot-robot ini, Amazon boleh memastikan bahawa barang-barang pelanggan boleh dihantar keluar dengan lebih cepat.

DeepFleet dibangunkan menggunakan data dan juga kelengkapan mereka sendiri seperti Amazon Web Services dan Amazon SageMaker. Sistem ini dilihat akan menjadi lebih cekap di masa hadapan apabila lebih banyak robot digunakan di gudang-gudang Amazon, jadi ia adalah pelaburan yang cukup baik untuk mereka.

Walaupun Amazon dilihat semakin bergantung kepada barisan robot gudang mereka, Scott juga mengatakan bahawa mereka telah melatih seramai 700 ribu pekerja Amazon melalui pelbagai program latihan berkenaan penyelenggaraan dan kejuruteraan robotik.

Kebergantungan terhadap robot untuk menyusun dan menghantar barang dari rak ke kenderaan juga dilihat satu cara bagaimana Amazon melihat keselamatan di tempat kerja. Para pekerja diberi peluang untuk menambahkan pengetahuan mereka dalam bidang-bidang yang lebih teknikal, manakala kerja-kerja berat boleh dipikul oleh robot-robot gudang ini.