SkyWorld bina kilang RM82.7 juta di Pulau Pinang sokong projek 35,000 rumah mampu milik

08/08/2025 - 18:21
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 8 Ogos – Pemaju hartanah bandar, SkyWorld Development Berhad memeterai perjanjian pembelian empat lot tanah pegangan bebas berkeluasan keseluruhan 10.7 hektar di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang bagi membina sebuah kilang sistem modular prasiap (PPVC).
Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld Development, Lee Chee Seng berkata, pengambilalihan bernilai RM82.7 juta itu akan dilaksanakan menerusi anak syarikat tidak langsungnya, Prefab Master (Penang) Sdn. Bhd. yang dimiliki sebanyak 70%.
“Langkah ini bertujuan menyokong pelaksanaan projek pembangunan bersama SkyWorld dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan PDC Properties Sdn. Bhd. bagi membina lebih 35,000 unit rumah mampu milik di bawah skim Rumah Bakat MADANI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Projek perumahan itu menawarkan unit kediaman berharga antara RM225,000 hingga RM420,000 yang menyasarkan kumpulan B40 dan M40, selari dengan agenda memperluas akses pemilikan rumah rakyat di wilayah utara.
Kilang baharu yang dijangka mula beroperasi menjelang separuh kedua tahun 2026, terletak sekitar 12 km dari Batu Kawan dan 15 km dari Seberang Jaya, dua lokasi utama pembangunan SkyWorld di Pulau Pinang.
Tambahnya, lokasi strategik itu dijangka mempercepat penghantaran sistem modular ke tapak projek serta memperkukuh keberkesanan pelaksanaan di lapangan.
“Pembinaan kilang ini merupakan satu anjakan penting dalam strategi pertumbuhan syarikat, sekali gus menandakan kemasukan rasmi SkyWorld ke dalam segmen pembuatan modular.
“Langkah ini menyokong pelan jangka panjang kami untuk memperluas penglibatan dalam pembangunan rumah mampu milik di Malaysia, dengan pendekatan lebih cekap, pantas dan kos efektif,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan berskala besar yang mencecah lebih 35,000 unit membolehkan syarikat mencapai ekonomi skala dalam pengeluaran dan pengurusan kos, sekali gus mengukuhkan keupayaan SkyWorld dalam memastikan pelaksanaan projek yang konsisten dan berimpak tinggi.
Pengambilalihan tanah itu akan dibiayai menerusi gabungan dana dalaman dan pinjaman bank, dan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh perjanjian jual beli, tertakluk kepada kelulusan yang berkaitan.
SkyWorld sebelum ini turut menyatakan inspirasi mereka terhadap kejayaan rakan kerjasama, Teambuild, dalam pembangunan perumahan HDB berskala besar di Singapura yang menggunakan sistem modular dan kini bersedia membawa pendekatan itu ke pasaran tempatan. - DagangNews.com
standard



