AmFirst REIT catat peningkatan 20% hasil hartanah bersih kepada RM19.7 juta bagi FY26

LocalBusiness & Finance
28 Jul 2026 • 12:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AmFirst REIT catat peningkatan 20% hasil hartanah bersih kepada RM19.7 juta bagi FY26 Image from: AmFirst REIT catat peningkatan 20% hasil hartanah bersih kepada RM19.7 juta bagi FY26 amree28/07/2026 - 12:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 JulaiAmFirst Real Estate Investment Trust (AmFirst REIT) mencatatkan peningkatan hasil hartanah bersih (NPI) 19.9% kepada RM19.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.

 

Kenaikan positif ini didorong terutamanya oleh prestasi operasi yang lebih kukuh, peningkatan kadar penghunian portfolio dengan purata sebanyak 85.9%, serta pengurusan kos pembiayaan secara berkesan.

 

Menurut kumpulan amanah perlaburan hartanah (REIT) itu, hasil keseluruhan bagi tahun kewangan 2026 (FY26) meningkat sebanyak 5.2% kepada RM110.3 juta, disokong permintaan pajakan memberangsangkan 

 

"Jumlah pajakan baharu mencecah keluasan 17,056 meter persegi, selain kadar pengekalan penyewa yang tinggi pada tahap kira-kira 92.8%," jelas AmFirst REIT dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.

 

Justeru, sejajar dengan peningkatan NPI tersebut, ia mengisytiharkan jumlah pengagihan pendapatan (DPU) sebanyak 2.87 sen seunit, iaitu kenaikan sebanyak 19.6% berbanding hanya 2.40 sen pada FY25.

 

Dalam perkembangan penting pengoptimuman portfolio, kumpulan pada 8 Jun 2026 bercadang melupuskan Menara AmBank di ibu negara kepada AmBank (M) Berhad dengan pertimbangan tunai RM331.0 juta. 

 

AmFirst REIT_DagangNews2026

 

Langkah ini ujar AmFirst REIT, bertujuan untuk mencairkan nilai aset yang matang dan berpendapatan rendah, serta mengurangkan nisbah penggearan atau hutang daripada 46.6% kepada kira-kira 33.9%.

 

"Penjualan ini juga menjimatkan kos faedah tahunan dianggarkan RM12.9 juta, serta menyediakan ruang modal pelaburan masa hadapan dalam kelas aset yang memberikan pulangan lebih tinggi," tambahnya.

 

Kumpulan berkenaan juga katanya, sedang giat menjalankan usaha penjenamaan semula dan rancangan pengubahsuaian The Summit Hotel kepada Portrait Hotel Subang Jaya dengan kos pelaburan RM45 juta.

 

Inisiatif tersebut jelas AmFirst REIT, dijangka dapat meningkatkan sumbangan hasil daripada hotel dan pendapatan jangka panjang setelah siap sepenuhnya menjelang tempoh suku keempat 2026 kelak.

 

Sementara itu, Pengerusinya, Azlan Baqee Abdullah, menyatakan keyakinan terhadap trajektori pertumbuhan ekonomi Malaysia sepanjang tahun ini yang diunjurkan berkembang antara 4.0% hingga 4.5%.

 

"Pihak pengurusan akan terus fokus kepada strategi rasionalisasi aset dan kepelbagaian portfolio untuk memastikan kestabilan hasil jangka panjang bagi pemegang unit," kata beliau. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved