Kepulangan Tuanku Muhriz ke tanah air malam ini jadi tumpuan

LocalPolitics
17 Sep 2026 • 6:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kepulangan Tuanku Muhriz ke tanah air malam ini jadi tumpuan
Tuanku Muhriz

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dijadualkan pulang daripada perjalanan luar negara malam ini.

Baginda dijangka tiba di Terminal Satu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada jam 8.30 malam.

Menerusi satu poster yang tular di media sosial, penganjur mengajak orang ramai dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkumpul di tempat letak kereta tingkat lima, Terminal Satu KLIA pada waktu berkenaan bagi menyambut kepulangan baginda.

Perhimpunan itu dikatakan dianjurkan Pertubuhan Otai Reformasi Negeri Sembilan (PROFANS), Waris Dato Siamang Gagap, Waris Negeri Sembilan dan Pekan.

Perkembangan itu berlaku ketika kemelut berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terus menjadi perhatian.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan Kerajaan Negeri Sembilan membuat keputusan kolektif bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah sah.

Menerusi satu kenyataan, perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan bersidang pada Selasa dan dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dengan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu berkuat kuasa serta-merta.

Ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan di sebuah hotel di sini pada Khamis, Ismail mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz tersebut.

Bagaimanapun, Dewan Keadilan dan Undangan (DKU) Negeri Sembilan sekali lagi menegaskan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin berkata, tiada kekosongan jawatan dan tiada pengganti selagi jawatan itu dipegang oleh baginda secara sah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved