
SEREMBAN - Selepas mencetuskan kontroversi apabila mendakwa dipaksa menandatangani proklamasi penyingkiran Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Menteri Besar Datuk Ismail Lasim nampaknya sudah berubah 180 darjah.
Jika beberapa hari lalu beliau bermati-matian mendakwa dipaksa, kini sosok yang sama mengesahkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) sebulat suara menyokong proklamasi berkenaan.
Kata Ismail, keputusan itu dicapai semua anggota MMK dalam mesyuarat pada 15 September lalu, sebelum Setiausaha Kerajaan Negeri diarahkan meneruskan proses pewartaan mengikut peraturan sedia ada.
“Proses pewartaan sudah pun kita minta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk teruskan mengikut peraturan sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.
Pengesahan itu sekali gus meletakkan Ismail pada kedudukan yang jelas berbeza, sekali gus menimbulkan pertanyaan ramai: Apa sudah jadi?
Tanggal 9 September lalu, Ismail mengakui menandatangani proklamasi berkenaan tetapi mendakwa dipaksa berbuat demikian dan ia sama sekali bertentangan dengan kemahuannya.
Beliau malah turut mempersoalkan kesahihan dokumen berkenaan ketika itu, termasuk mendakwa ia tidak mematuhi Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta menyifatkannya sebagai tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan.
‘Penentangannya’ terhadap paksaan dibuktikan menerusi laporan polis yang dibuat tidak lama kemudian.
Tapi nampaknya Ismail tak tetap pendirian kerana hari ini, beliau mengesahkan keputusan MMK yang menyokong proklamasi itu secara sebulat suara dan mengarahkan ia diwartakan.
Bingung. Memang bingung dibuatnya kerana pada 6 September lalu, Ismail secara terbuka menyatakan sokongan serta taat setia kepada Tuanku Muhriz.
Ketika itu, beliau dipetik sebagai berkata, tumpuannya adalah menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar demi kepentingan rakyat dan negeri.
Tiga hari kemudian, beliau mendakwa dipaksa menandatangani dokumen yang berkaitan dengan penyingkiran Tuanku Muhriz.
Hari ini pula, beliau mengesahkan MMK yang dipengerusikannya sebulat suara menyokong proklamasi tersebut.
Persoalan utama yang timbul ialah: mengapa sekelip mata beliau berubah?
Lebih penting, dakwaan paksaan yang dibuat Ismail sebelum ini masih dalam siasatan.
Kementerian Dalam Negeri mengesahkan, kertas siasatan telah dibuka berhubung dakwaan berkenaan.
Dalam perkembangan sama, pertikaian mengenai kedudukan Tuanku Muhriz kini bukan lagi sekadar membabitkan pendirian politik kerajaan negeri, sebaliknya berkembang menjadi pertikaian mengenai bidang kuasa perlembagaan dan adat Negeri Sembilan.
Kerajaan negeri berpendirian, proklamasi penyingkiran Tuanku Muhriz adalah sah dan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar telah diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baharu.
MMK turut menyatakan proklamasi berkenaan dibuat berdasarkan Perkara 10 dan 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Bagaimanapun, pendirian itu ditolak Dewan Keadilan dan Undang (DKU), yang terdiri daripada empat Undang Luak.
DKU menegaskan, Tuanku Muhriz masih merupakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan tiada kekosongan bagi jawatan berkenaan.
DKU turut menegaskan, MMK dan kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa menentukan kesahihan proklamasi atau kedudukan Yang di-Pertuan Besar.
Menurut DKU, keputusan MMK yang mendakwa menyingkirkan Tuanku Muhriz dan mengiktiraf Tunku Nadzaruddin sebagai pengganti tidak mempunyai kesan dari segi undang-undang.
Pendirian itu secara langsung bertentangan dengan kerajaan negeri yang kini bukan sahaja mempertahankan kesahihan proklamasi, malah bergerak untuk mewartakannya.
Perkembangan itu berlaku ketika pertikaian berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar masih menjadi subjek proses mahkamah.
Dengan dua pihak berkuasa negeri kini mengambil pendirian yang bertentangan mengenai kesahihan proklamasi, Negeri Sembilan berdepan pertikaian perlembagaan yang semakin meruncing.
Persoalan yang masih belum terjawab ialah sama ada Ismail masih berpegang kepada dakwaan bahawa beliau dipaksa menandatangani proklamasi itu, atau kini menerima dokumen berkenaan sebagai tindakan yang sah.
Jawapan kepada persoalan itu penting kerana dakwaan paksaan tersebut menjadi asas kepada laporan polis yang dibuatnya sebelum ini, sedangkan pendirian terkini kerajaan negeri menunjukkan penerimaan penuh terhadap proklamasi berkenaan.
Buat masa ini, dua pendirian jelas bertentangan: kerajaan negeri mahu meneruskan pewartaan penyingkiran Tuanku Muhriz, manakala DKU menegaskan baginda kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah. (BERNAMA)
Pertikaian itu kini menjadi antara krisis perlembagaan paling ketara yang sedang dihadapi Negeri Sembilan, dengan persoalan mengenai kesahihan proklamasi, bidang kuasa pihak terbabit dan kedudukan Yang di-Pertuan Besar masih belum menemui titik penyelesaian. - Getaran, 17 September 2026






.jpg)