Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (16 September) tular kenyataan media Kerajaan Negeri Sembilan yang telah membuat keputusan kolektif bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah sah.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Exco Negeri Sembilan itu, keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan turut memaklumkan yang Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar telah diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan baharu.


Aminuddin dakwa tindakan EXCO umum penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai derhaka
Terbaharu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan telah meneliti pengumuman yang dilakukan oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) berhubung kedudukan Tuanku Muhriz.
Susulan itu Aminuddin menyifatkan tindakan Exco terbabit mengeluarkan pengumuman tersebut sebagai suatu perbuatan derhaka kepada Tuanku Muhriz.
Jelas beliau pada 9 September, Kerajaan Negeri semasa telah menyatakan secara terbuka bahawa dokumen proklamasi itu tidak memenuhi proses dan tatacara yang ditetapkan dalam Perkara 10. Kerajaan Negeri juga menyatakan bahawa proklamasi tersebut tidak sah selain bercanggah dengan perlembagaan dan tidak boleh dilaksanakan.
EXCO tiada kuasa buat keputusan kedudukan Tuanku Muhriz
“Namun, tujuh hari kemudian, ahli-ahli EXCO Kerajaan Negeri yang sama pula memutuskan bahawa proklamasi tersebut telah lengkap dan berkuat kuasa. Perubahan pendirian ini sukar difahami.
“Menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), ahli-ahli EXCO tidak mempunyai kuasa membuat apa-apa keputusan berhubung dengan kedudukan Tuanku Muhriz.
“Dewan Keadilan dan Undang (DKU) telah bersidang pada 13 September 2026 dan mengeluarkan keputusan pada 14 September 2026,” katanya.
Menurut beliau antara lain keputusan terbabit menegaskan semula bahawa proklamasi berkenaan tidak sah serta terbatal sejak awal dan Tuanku Muhriz merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Keputusan-keputusan tersebut telah disampaikan kepada:
- Menteri Besar
- Setiausaha Kerajaan Negeri
- Penasihat Undang-Undang Negeri
Pengganti tak boleh dipilih selagi jawatan masih disandang, Aminuddin gesa pihak berkuasa ambil tindakan kepada EXCO terlibat
Pengumuman pada 16 September juga menyatakan bahawa proklamasi berkenaan hanya disempurnakan menurut Perkara 10(2) apabila Menteri Besar menandatangani dokumen berkenaan pada 3 Ogos.
Namun, pengumuman yang sama juga menyatakan bahawa seorang pengganti sudah dipilih pada 19 April menurut Perkara 11.
“Pengganti tidak boleh dipilih selagi jawatan berkenaan masih disandang.
“Saya tidak mengiktiraf pengumuman pada 16 September itu. Saya menegaskan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.”
Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya ke atas setiap ahli EXCO yang terlibat dalam perkara itu.
Proklamasi 19 April pernah dikemukakan kepada Aminuddin ketika masih lagi jadi MB di Negeri Sembilan
Aminuddin turut mengatakan beliau tampil untuk memberikan penjelasan kerana dokumen yang menjadi asas pengumuman tersebut, iaitu proklamasi yang didakwa bertarikh 19 April dan dikatakan dibuat oleh Undang Yang Empat, pernah dikemukakan kepadanya ketika beliau masih lagi menjawat jawatan sebagai Menteri Besar di Negeri Sembilan.
Katanya, beliau merupakan Menteri Besar Negeri Sembilan pada 19 April 2026 dan masih menyandangnya sehinggalah 2 Ogos 2026.
Aminuddin dedah enggan tandatangan dokumen proklamasi
“Pada 20 April 2026, dokumen proklamasi tersebut telah dikemukakan kepada saya untuk ditandatangani menurut Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
“Saya enggan menandatangani dokumen tersebut atas sebab-sebab yang telah saya nyatakan secara terbuka pada ketika itu.
“Pada 20 April 2026, saya telah menjelaskan secara terbuka mengapa saya enggan menandatangani dokumen tersebut. Saya menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak dapat menerima dan tidak mengiktiraf tindakan Mubarak Dohak yang terlibat dalam urusan proklamasi tersebut serta menyempurnakannya pada 19 April 2026.
“Hal ini kerana beliau (Mubarak) bukan lagi Undang Luak Sungei Ujong dan tindakan tersebut tidak menepati kehendak Perkara 10 UUTKNS,” jelasnya menerusi satu kenyataan.
Dokumen proklamasi sama tak boleh dikemukakan kepada MB yang lain 4 bulan kemudiannya
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu turut memaklumkan pendiriannya (menolak daripada menandatangani dokumen proklamasi) telah dinyatakan sebagai penyandang jawatan Menteri Besar seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 10(2).
Tambahnya perkara yang sama tidak boleh dikemukakan semula kepada Menteri Besar yang lain empat bulan kemudiannya.
Aminuddin dakwa tiada siasatan penuh dan lengkap pernah dijalankan menurut Perkara 10(1) UUTKNS
“Penyataan Undang Luak Johol dalam afidavit yang dikemukakan bagi permohonan Semakan Kehakiman 17 Julai 2026 (Guaman Sivil No. WA-25-201-07/2026) turut mengukuhkan pendirian saya pada 20 April 2026.
“Dalam Afidavit Sokongan bertarikh 17 Julai 2026, Udang Luak Johol menyatakan bahawa saya hadir dalam mesyuarat pada 5 Mac 2026 di Balai Undang Sungai Ujong. Beliau mendakwa bahawa siasatan penuh dan lengkap sebagaimana yang dikehendaki oleh Perkara 10 UUTKNS telah dijalankan dalam mesyuarat tersebut.
“Dakwaan ini merupakan suat pembohongan yang nyata. Tiada siasatan penuh dan lengkap pernah dijalankan di haddapan saya seperti yang didakwa. Malah, hal ini merupakan antara sebab saya enggan menandatangani dokumen proklamasi bertarikh 19 April itu,” dakwa Aminuddin.
Tiada apa-apa dakwaan yang dikemukakan kepada Tuanku Muhriz, baginda juga tak diberikan peluang menjawab sebarang dakwaan
Aminuddin jug mengatakan tidak ada sebarang dakwaan yang pernah dikemukakan kepada Tuanku Muhriz.
“Baginda juga tidak pernah diberi peluang untuk menjawab sebarang dakwaan. Hal ini mrupakan suatu pelanggaran serius terhadap prinsip keadilan asasi.”






