MB, MMK Negeri Sembilan Tiada Kuasa Unilateral Kosongkan Jawatan Yang di-Pertuan Besar - AGC

LocalPolitics
17 Sep 2026 • 9:35 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

MB, MMK Negeri Sembilan Tiada Kuasa Unilateral Kosongkan Jawatan Yang di-Pertuan Besar - AGC

Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Menerusi kenyataan media pada Khamis, AGC berkata pihaknya mengambil maklum dokumen bertajuk “Kenyataan Media Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan – Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan Bil. 6 Tahun 2026 (15 September 2026)”.

Menurut AGC, kesahan serta kesan Proklamasi tersebut hendaklah ditentukan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, selaras dengan undang-undang, terutama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1959 (UUTKNS 1959).

“Jabatan ini telah memberi pandangan awal bahawa Proklamasi bertarikh 19 April 2026 adalah tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak-kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS, khususnya tiada sebarang keterangan bahawa mana-mana faktor hilang kelayakan yang dinyatakan dalam Perkara 10(1) UUTKNS terpakai kepada DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

“Walaupun jelas Dato’-Dato’ Undang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan supaya DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan diturunkan takhta, namun Perkara 10 UUTKNS turut memperuntukkan tatacara dan asas-asas pertimbangan sebelum Dato’-Dato’ Undang boleh membuat keputusan sedemikian.

“Setakat hari ini tiada fakta yang menunjukkan tatacara yang diperuntukkan tersebut telah dipatuhi,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, AGC turut menyentuh isu berhubung beberapa Dato’ Undang yang menandatangani Proklamasi tersebut tidak lagi memegang jawatan secara sah kerana telah diturunkan mengikut adat di luak masing-masing.

“Keabsahan beberapa Undang yang menandatangani Proklamasi tersebut adalah dipertikaikan kerana penurunan mereka telah dilakukan melalui adat di luak masing-masing. Oleh itu sebenarnya komposisi Undang Yang Empat adalah tidak lengkap pada masa yang material.

“Jabatan ini menghormati kedudukan Dato’-Dato’ Undang Negeri Sembilan dan akur pelantikan dan penurunan setiap mereka adalah tertakluk kepada peraturan adat di luak masing-masing.

“Dalam masa yang sama, Jabatan ini mengambil maklum UUTKNS 1959 turut memperuntukkan penubuhan Dewan Undangan dan Keadilan yang mana menurut Perkara 16 UUTKNS 1959, persoalan adat Melayu, termasuk pemilihan, perlantikan, perletakan dan pemecatan jawatan Undang serta apa-apa perkara yang dibawa oleh Yang di-Pertuan Besar, terletak dalam bidang kuasa Dewan.

“Menurut Perkara 16(3) UUTKNS 1959, nasihat Dewan mengenai persoalan sedemikian adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan,” katanya.

Sehubungan itu, AGC berkata kenyataan media atau pengumuman oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan berhubung perkara tersebut tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang.

Baca juga:

“Oleh yang demikian, kenyataan media atau pengumuman oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan tersebut adalah dianggap sebagai tidak mempunyai sebarang kesan di sisi undang-undang memandangkan mereka tidak mempunyai bidang kuasa, autoriti mahupun kuasa di bawah UUTKNS 1959 untuk membuat pengumuman tersebut.

“Juga, tiada asas di sisi undang-undang bagi ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk bersandar kepada Proklamasi bertarikh 19 April 2026 bagi pengumuman mereka.

“Berdasarkan perkara-perkara di atas tindakan pewartaan atau apa-apa tindakan pelaksanaan Proklamasi tersebut adalah menjadi suatu tindakan yang tidak sah kerana tidak berperlembagaan,” menurut kenyataan itu.

AGC turut mengambil maklum bahawa perkara berkaitan kini sedang dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Malaya di Seremban dan terdapat perintah mahkamah dalam bentuk interlocutory injunksi yang masih berkuat kuasa.

“Justeru, Jabatan ini menyeru semua pihak supaya menghormati proses mahkamah dan membenarkan ia diselesaikan secara teratur,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved