Aminuddin terus galas tugas Menteri Besar Negeri Sembilan - Anwar

LocalPolitics
28 Apr 2026 • 4:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Aminuddin terus galas tugas Menteri Besar Negeri Sembilan - Anwar
Kenyataan media Anwar mengenai Aminuddin Harun akan terus menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

SHAH ALAM - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun akan terus menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar negeri itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut dititahkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, ketika beliau menghadap baginda semalam.

“Saya telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus malam tadi bagi membincangkan perkembangan melibatkan institusi Raja dan pentadbiran kerajaan negeri, selain menjunjung kasih atas kebijaksanaan Duli Tuanku dalam menangani perkara ini.

“Dalam pertemuan tersebut, saya menyokong titah Duli Tuanku agar YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun terus menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar demi memastikan kestabilan pentadbiran negeri, memelihara kepentingan rakyat serta menjunjung kedaulatan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Selasa.

Pada Isnin, 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan sebulat suara mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin.

Keputusan itu dibuat susulan krisis yang membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri.

Berikutan itu, difahamkan Aminuddin menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi membincangkan krisis tersebut.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan, segala kemelut melibatkan institusi Undang sedang ditangani melalui saluran dan proses yang sah mengikut kebijaksanaan Undang.

“Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan kerjasama penuh untuk memastikan kelangsungan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Dalam apa jua keadaan, keluhuran institusi Raja dan undang-undang negeri mesti terus dipelihara serta dipertahankan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat khususnya di Negeri Sembilan untuk terus berhemah, menjaga adab dan ketertiban dalam membicarakan hal institusi Raja dan undang-undang negeri.