
PETALING JAYA – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mencetuskan keterujaan dalam kalangan rakyat negerinya apabila membuat undian berhubung cadangan pemberian cuti sekiranya Selangor muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026.
Menerusi hantaran di Threads malam ini, Amirudin meminta pandangan rakyat sama ada bersetuju kerajaan negeri mengisytiharkan cuti sekiranya kontinjen Selangor menjuarai temasya berkenaan.
“Apa pandangan rakyat Negeri Selangor jika Kerajaan Negeri isytihar cuti sekiranya Selangor menjuarai Kejohanan Sukma 2026? Cuba undi di bawah,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Amirudin turut menyediakan dua pilihan dalam undian berkenaan iaitu ‘Setuju’ dan ‘Tidak Setuju’.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna media sosial menyambut baik cadangan tersebut, malah ada yang berharap cuti berkenaan diberikan seawal esok.
“Cuti esok YB tolonglah,” komen Lenny.
“Setuju, setuju, setuju. Tak sia-sia saya undi YB,” komen Farhan.
“Cuti YB. Saya dari Melaka tadi, ni dekat Perak pula. Malam baru gerak balik Selangor. Penat bawak anak jalan-jalan. Kalau cuti, saya book terus hotel kat Ipoh,” komen Loqman pula.
Terdahulu, kerajaan Selangor dilaporkan sedang mempertimbangkan pemberian cuti peristiwa sekiranya kontinjen negeri itu muncul juara keseluruhan Sukma.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, perkara berkenaan akan diusulkan kepada Amirudin sebagai penghargaan kepada rakyat yang memberikan sokongan sepanjang temasya berlangsung.
Menurutnya, sebarang keputusan mengenai cuti tersebut hanya akan dimaklumkan selepas kiraan pingat dimuktamadkan.
Selangor sebelum ini menetapkan sasaran 80 pingat emas dan berjaya melepasi sasaran tersebut apabila mengumpul 85 pingat emas setakat pukul 3 petang hari ini.– KOSMO! ONLINE
The post Amirudin buat undian, tanya rakyat Selangor setuju cuti jika juara Sukma appeared first on Kosmo Digital.






