Amirudin teliti pembubaran PN, tak jejas CSA Bersatu kerajaan negeri

LocalPolitics
20 Oct 2026 • 12:19 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

PN Bersatu

SHAH ALAM: Pembatalan pendaftaran Parti Perikatan Nasional (PN) dijangka tidak akan menjejaskan perancangan kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor dengan kerajaan negeri.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagaimanapun beliau akan menyemak semula kedudukan itu namun enggan menyentuh hal dalaman parti tersebut.

“Kita tidak pasti (kedudukan PN) saya kena semak dahulu. Mungkin satu atau dua hari ini kita akan tentukan kedudukannya (kerjasama) dengan Bersatu.

“(Soal pembatalan pendaftaran PN) Itu masalah dalaman yang harus mereka sendiri selesaikan. Sebab, perancangan kita adalah dengan Bersatu bukan PN,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Sijil Profesional Teknologi Pengurusan Bekalan Air di sini, hari ini.

Malah, beliau yang juga Naib Presiden PKR turut memaklumkan perjanjian kerjasama antara Bersatu dengan kerajaan negeri dijangka dimeterai pada minggu hadapan.

“Nanti saya kena tunggu pengesahan dahulu, mungkin selepas 25, 26 hari bulan,” ujarnya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Pendaftar Pertubuhan membuat keputusan untuk membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) di bawah sub perenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas pihaknya menerima maklum balas daripada PN pada 12 Oktober lalu setelah pihaknya mengeluarkan notis pada 22 September lepas. – UTUSAN

The post Amirudin teliti pembubaran PN, tak jejas CSA Bersatu kerajaan negeri appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved