Pembatalan pendaftaran: MP PH persoal kedudukan wakil PN di Dewan Rakyat

LocalPolitics
20 Oct 2026 • 6:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pembatalan pendaftaran: MP PH persoal kedudukan wakil PN di Dewan Rakyat
Mohd Sany membangkitkan persoalan mengenai kedudukan Ahli Parlimen PN di Dewan Rakyat susulan pembatalan pendaftaran gabungan itu oleh RoS pada Selasa.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen kerajaan mempersoalkan kedudukan wakil Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat susulan kenyataan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung pembatalan pendaftaran gabungan itu.

Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) meminta penjelasan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengenai kedudukan Ahli Parlimen PN susulan perkembangan berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu dibangkitkan selepas membaca kenyataan RoS yang menyatakan pendaftaran PN telah dibatalkan.

“Jadi kita nak tahu, kita nak dapat sedikit petua (petunjuk) daripada Tan Sri Speaker. Macam mana kedudukan mereka ini?” katanya di sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Terdahulu, RoS dilapor mengesahkan membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.

Menurut RoS, keputusan itu dibuat di bawah sub perenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) selepas meneliti keseluruhan dokumen dan representasi dikemukakan PN pada 12 Oktober lalu.

Notis terdahulu bertarikh 22 September lalu dikeluarkan kepada PN di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 bagi memberi peluang kepada parti itu mengemukakan penjelasan dan representasi berhubung perkara yang dibangkitkan.

Bagaimanapun, Johari meminta Mohd Sany mengemukakan sebarang persoalan berkaitan Peraturan Mesyuarat selepas sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

“Kalau Yang Berhormat ada apa-apa tentang Peraturan Mesyuarat, bangun selepas sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri nanti. Sila duduk dulu Yang Berhormat,” ujarnya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved