SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menggesa UMNO Selangor menarik sokongan dan keluar daripada Kerajaan Negeri Selangor secara terhormat sekiranya benar parti itu memilih untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Mohamad Shahrul Adnan berkata, UMNO Selangor tidak seharusnya bermain politik dua muka dengan terus berada dalam pentadbiran kerajaan negeri, tetapi pada masa sama bercakap mengenai kerjasama bersama PN.
"Kalau benar UMNO Selangor masih mempunyai maruah dan berpegang kepada prinsip perjuangan yang dilaungkan, tidak perlu tunggu untuk dipecat, tarik sahaja sokongan dan keluarlah daripada Kerajaan Negeri Selangor secara terhormat.
"Kalau benar mahu bersama PN, buktikan dengan tindakan, jangan sekadar bercakap. Letak jawatan EXCO dan keluarlah daripada Kerajaan Negeri Selangor," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan UMNO Selangor diyakini akan menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) apabila tiba masanya dan tidak akan terus bersama Pakatan Harapan (PH) di negeri ini.
Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, keyakinan itu bersandarkan pendirian pimpinan parti itu yang kekal berpegang kepada prinsip serta tidak mengejar jawatan dalam kerajaan negeri.
Noh berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Afif Bahardin yang mencabar Barisan Nasional (BN) menarik sokongan di Selangor jika benar-benar berani.
Menurut Noh, dakwaan UMNO Selangor mengejar jawatan tidak berasas kerana pimpinan parti itu didakwa menolak pelbagai tawaran jawatan daripada kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Shahrul berkata, tindakan UMNO keluar daripada kerajaan negeri tidak akan menjejaskan kestabilan pentadbiran Selangor kerana kerajaan sedia ada kekal kukuh.
Menurutnya, Kerajaan Negeri Selangor akan terus utuh hasil kerjasama erat antara KEADILAN, DAP dan AMANAH dalam memastikan agenda pembangunan negeri serta kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.
Beliau turut mendakwa sekiranya UMNO Selangor benar-benar memilih untuk bersama PN, jawatan EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna wajar dipulangkan kerana masih ramai Ahli Dewan Negeri daripada Pakatan Harapan yang layak memikul tanggungjawab tersebut.
"Kerusi Exco bukan mas kahwin politik untuk memujuk mana-mana parti supaya terus kekal berada dalam kerajaan.
"Jawatan itu adalah amanah kepada mereka yang benar-benar komited mempertahankan dasar serta kestabilan Kerajaan Negeri," katanya.
Shahrul berkata, rakyat Selangor kini semakin matang dalam menilai pendirian pemimpin politik dan mahukan sebuah kerajaan yang stabil serta memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat, bukannya ahli politik yang masih memegang jawatan dalam kerajaan tetapi berhasrat membentuk kerajaan lain.





