
JOHOR BAHRU: Bapa kepada arwah Mohammad Haikal Ramzi, 12, reda anaknya itu ditemukan lemas bersama seorang rakannya di kawasan empangan di Jalan Murai 2, Taman Scientex, Pasir Gudang di sini awal pagi tadi.
Mohamad Khairudi Setapa, 42, berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu merupakan seorang kanak-kanak yang aktif dan mudah berkawan, walaupun dengan rakan berbeza usia dan baharu berkenalan.
Katanya, Mohammad Haikal dan seorang lagi rakannya, iaitu Muhammad Adam Faris Arman, 11, baharu berkenalan selama beberapa hari.
“Haikal memang budak yang baik, dia kerap bermain di luar bersama rakan-rakan pada waktu petang sebelum pulang sebelum pukul 7 malam. Semalam dia keluar rumah untuk bermain seperti biasa, tetapi selepas pukul 7 masih tidak pulang menyebabkan keluarga mula risau.
“Kami mula mencari dia di beberapa lokasi, sebelum seorang rakannya memberitahu saya untuk mencari di lokasi empangan berkenaan. Setibanya di sana, saya temukan basikal miliknya sekaligus menyebabkan rasa tidak sedap hati.
“Selepas itu kami terus membuat laporan sebelum pihak berkuasa termasuk bomba hadir untuk melakukan operasi pencarian,” katanya ketika ditemukan pemberita di Jabatan Forensik Hospital Pasir Gudang, di sini hari ini.
Tambah Mohamad Khairudi, dia sedih kerana tidak sempat membelikan permainan yang diminta anaknya beberapa hari sebelum kejadian.
“Beberapa hari lalu, dia ada meminta untuk dibelikan permainan robot yang dijual dalam kotak-kotak kecil. Dia juga minta ibunya bekal untuk menyimpan wang belanja bagi membeli permainan tersebut.
“Saya juga ada beritahu tunggu abah gaji, tetapi selepas gaji dia tidak meminta-minta untuk dibelikan. Arwah pinjaman daripada Allah, saya hanya sempat menjaga dia selama 12 tahun sahaja.
“Anak abah, insya-Allah dunia akhirat,” katanya yang merupakan seorang pekerja kilang.
Mohammad Haikal Ramzi dan Muhammad Adam Faris masing-masing ditemukan pihak bomba pada kedalaman air dua meter di lokasi, pada pukul 2 pagi tadi dan bakal dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang.-UTUSAN
The post Anak abah, insya-Allah dunia akhirat – Bapa mangsa lemas appeared first on Utusan Malaysia.





