
TRAGEDI lemas melibatkan empat sekawan di Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar, Johor terus meruntun hati rakyat Malaysia.
Dalam perkembangan terbaharu, mayat mangsa ketiga, Muhammad Adib Hafiy Kamal, 16, ditemukan pada 11.15 pagi Jumaat di kedudukan lima kilometer dari lokasi kejadian.
Suasana pilu menyelubungi Pusat Kawalan Tempat Kejadian semasa mayat dibawa untuk proses pengecaman apabila bapa mangsa Kamal Mohamad didengari berkata "anak aku sudah pulang".

Menurut Pemangku Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata Muhammad Adib Hafiy Kamal ditemukan pada 11.15 pagi oleh sebuah bot Persatuan Rekreasi Tanjung Lompat kira-kira 0.5 batu nautika ke arah tenggara perairan Tanjung Siang.
Difahamkan, mayat dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintenden Mohd Syamsuri Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penemuan itu.
“Mangsa dibawa naik ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) jam 11.45 pagi bagi proses pengecaman oleh waris.
“Selepas disahkan waris, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, catatan kakak Allahyarham menerusi akaun TikTok Nara terdahulu tular berkongsi catatan pilu betapa beratnya rasa kehilangan seorang adik yang disayangi.
Luahan tulus mengenai kerinduan serta ingatan terhadap kebaikan Allahyarham Muhammad Adib kini dihujani doa daripada ribuan warga maya yang turut berduka atas tragedi berkenaan.

"Assalamualaikum adik kesayangan kakak. Kau tak nak balik ke?
"Aku rindu kau sangat. Bila habis kelas semalam aku tak fikir apa dah Piy, aku terus shot Nilai - Johor sebab aku tak ready nak hilang kau. Tapi bila aku dengar kau lemas dari pukul 8 tu aku dah tak boleh fikir apa.
"Aku tahu yang kau dah tak ada tapi sekarang kau tak nak balik pun. Aku tak tahu macam mana nak cakap bila dengar berita ni. Aku sakit, sakit sangat.
"Benda yang paling aku takut sudah jadi. Aku tak pernah terfikir akan hilang kau dulu dari segala benda yang aku sayang. Kau adik yang baik. Aku sayang kau sangat. Baliklah Piy. Semua orang tunggu kau. Semua orang sayang kau," titipnya.
Dalam pada itu, Pemangku Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili Komander Maritim Mohd Najib berkata operasi mencari dan menyelamat diteruskan pada hari ketiga hari ini bermula pada 7 pagi dengan keluasan sektor pencarian diperluas kepada kira-kira 103 batu nautika persegi melibatkan 61 pegawai dan anggota pelbagai agensi.

Imbas kembali Rabu lepas, bomba menerima panggilan kecemasan pada 8.19 pagi berhubung enam remaja lelaki dilaporkan lemas semasa mandi, namun dua mangsa, Mohamad Faqrul Isqandar Abdullah dan Muhammad Afiq Ruzaini Mazlan berjaya diselamatkan oleh orang awam.
INFO TRAGEDI
1-Menurut rakan mangsa yang enggan dikenali, kejadian itu berlaku ketika kumpulan mereka seramai 16 orang sedang mandi-manda di pesisir pantai selepas berkhemah di kawasan berkenaan sejak Selasa.
2-Tragedi bermula apabila salah seorang rakan yang lemas.
3-Hasrat mereka untuk berendam sekejap namun rakan berkenaan mendakwa mangsa pertama, Thaqif mandi di kawasan yang agak jauh. Difahamkan rakan-rakan cuma memanggilnya namun dia seperti tidak mendengar.
4-Remaja itu memaklumkan mereka membiarkan sahaja tetapi pandang semula ke arah rakan mereka itu, Thaqif dilihat sudah terkapai-kapai.
5-Menyedari Thaqif yang tidak pandai berenang, beberapa rakan lain cuba memberikan bantuan, namun cuaca dan arus laut menyebabkan situasi tidak dapat dikawal.
6-Katanya, perkhemahan itu merupakan pertama kali dianjurkan berbanding pertemuan kecil sebelum ini.
7-Pihak bomba memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada 8.19 pagi.
8-Setakat ini, tiga mangsa tragedi ditemukan lemas iaitu Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor, Alif Taqiuddin Kamal Hasrul dan Muhammad Adib Hafiy Kamal manakala Mohamad Haiman Fitri Supian masih hilang.
Terdahulu, pelajar Madrasah Tahfiz Al-Quran Ar-Redha sejak pada Jumaat meneruskan ikhtiar dengan melaungkan azan dan menunaikan solat sunat Dhuha, solat hajat serta bacaan Surah Yasin bagi membantu pencarian mangsa.

ALUR SEPERTI LONGKANG JADI PUNCA
Sementara itu, Pegawai Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Tanjung Sedili, Leftenan Komander Mohamed Shafiee Bakar memaklumkan keadaan bentuk muka bumi Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar, yang mempunyai alur menyerupai longkang dipercayai menjadi antara faktor empat pelajar dikhuatiri lemas di kawasan berkenaan.
Keadaan tersebut boleh menyebabkan arus menarik air dengan lebih kuat ke arah laut, khususnya ketika air laut surut.
Menurutnya, bentuk pantai yang melengkung juga berkemungkinan menyebabkan ombak yang menghempas pantai menghasilkan tarikan arus yang kuat ke laut.
“Di kawasan ini dipercayai terdapat satu alur seperti longkang di bahagian tengah pantai. Apabila ombak menghempas, tarikan arus ke arah laut mungkin menjadi lebih kuat.
“Keadaan ini berbeza dengan pantai yang landai kerana ombak lazimnya menghempas ke pantai sebelum air kembali ke laut. Namun, di kawasan ini, keadaan bentuk pantainya boleh menyebabkan air mempunyai tarikan lebih kuat ke arah laut,” katanya.
Sumber: Sinar Harian, Bernama, TikTok






