
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sudah menjadi lumrah buat setiap individu di mana kita semua akan melalui proses akil baligh apabila mencapai di satu tahap umur.
Setiap individu mempunyai umur yang berbeza ketika mencapai waktu akil baligh khususnya bagi lelaki dan perempuan.
Meskipun perkara ini normal namun bagi individu yang baharu sahaja melaluinya akan berasa janggal dengan perubahan yang berlaku.
Oleh itu, ibu bapa atau penjaga perlu memainkan peranan penting dalam menerangkan kepada anak-anak.
Wanita kongsi cara terangkan kepada anak yang sudah baligh mengenai apa yang berlaku
Seorang wanita di media sosial turut berkongsi beberapa tips yang boleh digunakan oleh ibu bapa untuk menerangkan mengenai akil baligh atau ‘mimpi basah’ yang berlaku kepada anak lelaki.
Tips tersebut adalah pendekatan secara lembut, hikmah serta berpandukan tauhid.
Menerusi hantaran dikongsikan oleh Mizana Rizqi di TikTok, katanya ibu bapa perlu menenangkan anak sekiranya mereka sudah melalui fasa akil baligh atau mimpi basah.
Jelaskan sebab berlakunya mimpi basah kepada anak lelaki
Malah anda juga boleh menjelaskan mimpi basah yang berlaku merupakan salah satu tanda dia sudah baligh dan bersyukur kerana sedang melalui proses fitrah sebagai seorang manusia.
Ini kerana anak-anak sedang melalui fasa penting dalam hidup mereka.
“Dari sudut tauhid ini bukti Allah mentadbir tubuh manusia dengan aturan sempurna. Ia bukan aib tetapi amanah,” ujarnya.
Terangkan mengenai tanggungjawab sebagai muslim, amalan mula dihisab
Katanya lagi, ibu ayah juga perlu memaklumkan kepada anak proses yang dilalui itu menunjukkan dia seorang individu yang sudah dewasa di sisi Allah di mana segala amalan baik dan buruk mula dihisab.
Oleh itu, anak perlu melakukan segala ibadah wajib seperti solat, berpuasa di bulan ramadan, menjaga aurat dan sebagainya.
“Contoh ayat, Allah dah percaya pada abang untuk jadi hamba yang bertanggungjawab. Ibu ayah akan bantu dan bimbing abang.”
Ajar anak cara mandi wajib yang betul dan tujuan ia dilakukan
Selain itu, ibu ayah juga perlu mengajar cara untuk mandi wajib agar anak dapat melakukannya dengan betul.
Sebagai contoh, ibu ayah mungkin boleh menunjukkan secara praktikal dengan cara yang sopan sekiranya ia bersesuaian. Selain itu, ibu ayah juga boleh menunjukkan contoh infografik atau video yang patuh syariah.
Perlu diterangkan mengapa mereka perlu melakukan mandi wajib dan bersuci ia bertujuan untuk solat diterima.
Berkomunikasi dan galakkan anak bertanya
Berikan anak peluang dan ruang untuk bertanya, sebagai remaja yang sedang membesar pastinya mereka mempunyai pelbagai persoalan.
Oleh itu, ibu ayah perlu menggalakkan anak bertanya agar segala kekeliruan mereka dapat dijawab dengan baik.
“Biar dia tahu, ibu ayah adalah tempat paling selamat untuk dia bertanya tentang tubuh dan agama,” jelasnya lagi.
Bukan hanya itu, sebagai ibu bapa anda juga perlu memulakan perbualan mengenai akhlak dan cara mengawal nafsu sebagai contoh dari segi pandangan, batas pergaulan dengan jantina lain serta fahami erti maruah diri.
TONTON VIDEO DI SINI.
Elak sentuh topik lucah
Elakkan daripada menyentuh topik lucah mahupun menyindir sebaliknya gunakan bahasa tenang dan jelas.
“Ajarkan zikir perlindungan, istighfar dan doa elak fitnah. Fitrah anak sedang bangkit jadi bimbing jiwa dan nafsunya dengan zikrullah.”
Di ruangan kapsyen Mizana turut menjelaskan seseorang yang sudah baligh bukan sahaja mengalami perubahan fizikal sebaliknya ia adalah permulaan tanggungjawab di dunia dan juga akhirat.
Ramai sebak baca tips, kerana tak percaya anak dah besar dan baligh
Melihat di ruangan komen, ramai para ibu yang berasa sebak mungkin kerana melihat proses tumbesaran anak.
Namun ada juga menyifatkan mereka sering terfikir cara untuk menerangkan kepada anak lelaki apabila mereka sudah baligh.
Tidak kurang juga ada yang berpendapat ia adalah satu ilmu yang berguna dan boleh digunakan apabila anak sudah berada di usia awal remaja.
“Terima kasih kongsi ilmu yang berguna. Dalam fasa anak lelaki nak membesar tak pernah lalui lagi. Dengan kongsi ilmu ni sedikit sebanyak saya boleh belajar berkomunikasi dengan anak nanti bila tiba waktunya.”

“Sedihnya baca dengan lagunya lagi. Ya Allah sekejapnya anak aku dah besar. Walaupun belum lagi baligh tapi tak lama lagi dah agaknya sebab dah masuk 12 tahun”

“Saya selalu tanya anak dia cakap tak tahu mimpi apa. Saya cakap mimpi perempuan dia selalu cakap tak tahu. Lepas tu dia cakap dekat sekolah cikgu dah ajar semua ibu tak perlu bimbang lah, ustaz dah ajar cara mandi wajib semua.”

“Baca macam ni pun air mata dah bertakung, anak lelaki sorang semakin nak membesar”


![Peguam Dedah Kesan Diisytihar Muflis, Ramai Salah Faham Tentang Status Bankrupt [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/personal-finance.jpeg)
![“Makin Berusia, Makin Perlu Doa” – Aksi Lelaki Wakaf Barang Keperluan Di Masjid Buat Ramai Kagum [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/lifestyle.jpeg)