Berat Badan Anak Susah Nak Naik? Doktor Ini Kongsi Tips Mudah Naikkan Berat Si Comel [Video]

Health & FitnessFamily & Parenting
10 Jul 2025 • 3:13 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Menjadi ibu bapa bukanlah satu tugas mudah. Setiap hari, ada sahaja cabaran baharu yang terpaksa ditempuhi khususnya melibatkan anak.

Antara cabaran yang biasa dihadapi oleh kebanyakan ibu bapa adalah ragam anak yang kadangkala menguji kesabaran contohnya berkaitan makanan.

Ada anak yang berselera bila makan namun ada juga yang memilih dan hanya menikmati hidangan tertentu.

Buat mereka yang berhadapan dengan situasi begini, pasti buntu dan pening memikirkan cara untuk memikat selera anak apatah lagi tindakan si comel boleh mempengaruhi berat badan mereka.

Doktor Kongsi Tips Untuk Tambah Berat Badan Anak

Memahami apa yang dihadapi oleh kebanyakan ibu bapa, seorang doktor perubatan dari sebuah klinik swasta berkongsikan cara mudah untuk menaikkan berat badan anak di TikTok @klinik.trucare.te.

Tujuh langkah mudah tersebut adalah;

#1 Jangan Bagi Susu Atau Air Sebelum Makan

Bukan hanya terpakai untuk orang dewasa, si kecil juga tidak terkecuali dari cepat berasa kenyang jika melakukan perkara ini.

Kongsi doktor berkenaan, tindakan memberi susu atau air sebelum makan membuatkan anak cepat kenyang dan hilang selera untuk menikmati hidangan utama.

#2 Buat Jadual Makanan Tetap Untuk Anak

Melalui perkongsian tersebut, doktor perubatan berkenaan menyarankan agar ibu bapa membuat jadual makanan yang tetap.

Ia penting kerana dapat melatih perut si manja berasa lapar mengikut waktu makan yang ditetapkan.

#3 Makan Sikit Tapi Dalam Keadaan Yang Kerap

Kebiasaannya, kanak-kanak yang memilih makanan ini hanya akan mengambil makanan utama dalam kuantiti yang sedikit. Pasti ada yang buntu namun ibu bapa tidak perlu bimbang.

Doktor ini menyarankan agar memberi makan secara kerap kepada anak dalam 5 hingga 6 kali sehari dalam kuantiti yang kecil.

image is not available
Foto: Freepik

#4 Tambah Kalori Secara Senyap

Tips lain untuk menaikkan berat badan anak adalah dengan menambah kalori secara senyap.

Caranya mudah sahaja. Masukkan bahan seperti minyak atau mentega ke dalam bubur atau nasi yang menjadi hidangan utama si manja.

Langkah lain adalah dengan memberi mereka makanan yang tinggi kalori seperti telur, avokado, keju dan susu penuh krim.

#5 Beri Snek Sihat Antara Waktu Makan

Bila sebut tentang snek, pasti ramai yang terfikir tentang keropok atau jajan. Snek yang dimaksudkan oleh doktor ini bukanlah snek yang tidak sihat.

Sebaliknya, dia menyarankan agar ibu bapa memberi snek sihat yang tinggi kalori seperti pisang, roti yang disapu peanut butter, biskut, kek atau puding susu.

#6 Galakkan Anak Untuk Aktif

Ibu bapa juga perlu menggalakkan anak untuk aktif. Ini kerana tindakan itu mampu membantu meningkatkan selera makan dam membuatkan mereka berasa lapar.

Bukan itu sahaja, membiarkan anak aktif dapat membantu meransang pertumbuhan otot si comel.

image is not available
Foto: Freepik

#7 Guna Susu Khas Atau Tambah Multivitamin

Jika masih buntu dan cara lain tidak menemui hasil, dia menyarakankan ibu bapa menggunakan susu khas jika perlu contohnya seperti Pediasure dan Appeton.

Selain itu, ibu bapa boleh juga menambah multivitamin untuk menaikkan selera si kecil.

Namun jelasnya, semua ini perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

Tonton video penuh [DI SINI]

Kesan Negatif Jika Anak Memilih Makanan

Memetik laman Hello Doktor, terdapat kesan negatif jika anak tidak mahu makan atau cerewet bab makanan.

Ia boleh mempengaruhi keperluan nutrisi harian si kecil dan memberi kesan negatif kepada pertumbuhan kanak-kanak dari segi aspek ketinggian dan berat badan.

Kanak-kanak picky eater atau kurang makan boleh menyebabkan mereka kekurangan nutrient seperti protein, zink, zat besi dan vitamin D yang sangat diperlukan dalam pertumbuhan dan perkembangan yang sihat.

Jika nutrien tersebut kurang, ia boleh menyebabkan masalah seperti bantut atau kekurangan berat badan.

Si kecil juga berisiko untuk berhadapan dengan masalah kesihatan serius untuk jangka panjang seperti anemia dan masalah perkembangan kognitif.

Source: