
PETALING JAYA – Seorang lelaki membuat keputusan penting dalam hidupnya apabila bersetuju untuk mendermakan dua buah pinggang dan hati bapanya, Abdul Aziz Abdul Kadir, 65, yang meninggal dunia akibat kematian otak untuk memberikan ‘sinar’ kepada pesakit yang memerlukan.
Ketika hayatnya, Allahyarham Abdul Aziz tidak pernah berikrar sebagai penderma organ.
Ahmad Al-Qayyuum Abdul Aziz, 37, mengakui ia bukan keputusan yang mudah, namun dia dan keluarga bersetuju selepas mendapat penerangan daripada doktor selain pandangan ulama mengenai hukum pendermaan organ.
“Selepas bapa saya disahkan kematian otak, doktor ada bertanya kepada kami mengenai pendermaan organ. Kami bersyukur kerana organ Allahyarham berjaya didermakan kepada pesakit yang memerlukan. Kami tahu serba sedikit (latar belakang) penerima organ.
“Arwah bapa merupakan individu yang baik hati, suka membantu orang lain, peramah, sentiasa tersenyum dan mudah mesra. Kami sekeluarga juga bersyukur kerana pihak hospital menghormati syarat yang ditetapkan,” katanya kepada Kosmo!.
Lelaki itu berharap sumbangan terakhir arwah bapanya dapat memberi peluang kepada pesakit yang memerlukan organ meneruskan kehidupan, selain menjadi amal jariah selagi penerima organ itu masih hidup.
Bercerita lanjut, Ahmad Al-Qayuum berkata, bapanya yang berasal dari Singapura ditemui tidak sedarkan diri di rumah anaknya di Bukit Permai, Ampang pada pukul 8 malam, 13 Ogos lalu selepas mandi.
Warga emas itu yang sebelumnya berniaga di pasar malam kemudiannya dikejarkan ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, doktor memaklumkan bapanya berkemungkinan diserang strok haba atau tekanan darah tinggi menyebabkan salur darah utama pecah dan berlaku pendarahan yang membawa kepada kematian otak.
Menurut Ahmad Al-Qayuum, sebelum ini arwah bapanya tinggal bersama dengannya di ibu negara selepas ibunya, Rokiah Abdullah yang merupakan warga tempatan meninggal dunia pada April 2019.
Setahun kemudian, Ahmad Al-Qayuum berdepan ujian berat sekali lagi apabila kehilangan adik tersayang, Shahid Al Warith akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2020.
Jenazah Abdul Aziz dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Karang Darat, Kuantan, Pahang pada 16 Ogos lalu.
The post Anak derma organ bapa, selamatkan nyawa orang lain appeared first on Kosmo Digital.




