
MELAKA – Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim diwakili anaknya sendiri Danni Rais pada prosiding di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini bagi pendakwaan di bawah Akta Hasutan 1948.
Turut bersama mewakili beliau adalah empat peguam yang lain iaitu Sheela Menon, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz, Ahmad Soleh Yusof dan Syahmi Aiman Mohamed Nasir.
Dalam prosiding di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin, Rais yang berusia 84 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.
Mengikut pertuduhan beliau didakwa telah menyebut perkataan menghasut berkaitan pemasyhuran Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12 kira-kira pukul 1 petang di sebuah hotel di Alor Gajah pada 5 Jun lalu.
Justeru, Danni dalam hujah pengurangan jaminan menyatakan bahawa bapanya iaitu tertuduh hanya dimaklumkan mengenai pendakwaan tersebut sekitar pukul 10.30 malam tadi.
Ujarnya, pihak tertuduh kemudian bergegas bertolak ke Melaka dari Kuala Lumpur seawal pukul 7 pagi tadi bagi menghadiri prosiding pada hari ini, sekali gus menunjukkan kerjasama yang baik telah diberikan.
Terdahulu, Pendakwaan yang dikendalikan barisan Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd. Izhar sebelum itu telah mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudian membenarkan Rais yang juga Pengerusi Parti Wawasan Negara diikat jamin sebanyak RM8,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 27 Oktober depan.
Dalam pada itu, Rais dilihat sempat menyantuni dan bertegur sapa dengan orang awam di pekarangan mahkamah selepas selesai membayar jaminan sebelum mengucapkan terima kasih kepada semua pihak.
“Semuanya baik, prosesnya baik dan terima kasih pada semua pihak. Terima kasih ya,” ujarnya ringkas sebelum menaiki kenderaan dan beredar dari kompleks mahkamah. – KOSMO! ONLINE
The post Anak lelaki, empat peguam wakili Rais Yatim appeared first on Kosmo Online.





