Rais Yatim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan hasutan

LocalPolitics
25 Sep 2026 • 11:23 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Bekas Senator Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini terhadap pertuduhan mengikut Akta Hasutan 1948.

Image from: Rais Yatim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan hasutan

Foto: Utusan Malaysia

Memetik laporan Sinar Harian, Rais, 84, memohon agar kes berkenaan dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Berdasarkan pertuduhan, Rais didakwa menyebut perkataan yang mempunyai unsur menghasut pada kira-kira jam 1 tengah hari, 5 Jun 2026, ketika berada di sebuah hotel di Simpang Ampat, Alor Gajah.

“Mendoakan selamat kepada Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12.
“Jadi, selepas ini, bebaslah, yang, Duli Maha Mulia, Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Ke-12, melakukan apa saja hal-hal kedirajaan.
“Dan seruan kami ialah tumpukanlah taat setia kepadanya, oleh kerana kita mengikut lunas undang-undang dan juga lunas adat yang ada di Negeri Sembilan,” kenyataan disebut Rais, sebelum ini.

Rais yang juga Pengerusi Parti Wawasan Negara didakwa melakukan kesalahan mengikut perenggan 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15), yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Jika disabitkan, tertuduh berdepan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar, yang mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, pasukan peguam yang mewakili Rais termasuk anaknya, Danni Rais, bersama Sheela Menon, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, Ahmad Soleh Yusof dan Syahmi Aiman Mohamad Nasir, memohon agar jumlah jaminan tersebut dikurangkan.

Artikel lain: Zahid jawab dakwaan campur tangan luar dalam lantikan MB, enggan layan ‘kenyanyukan seseorang’

Peguam turut memaklumkan bahawa anak guam mereka memberikan kerjasama dengan hadir ke mahkamah walaupun hanya dimaklumkan berhubung pertuduhan itu kira-kira jam 10.30 malam tadi.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin. Kes berkenaan turut ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 Oktober depan.

Sumber: Sinar Harian

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved