
KULIM – “Anak ada mengadu tidak boleh tidur sejak dua tiga hari lalu, namun tidak menyangka ia petanda kami akan kehilangannya.”
Itu luahan Siti Aishah Abdullah, 30, ibu kepada salah seorang daripada empat kanak-kanak yang meninggal dunia selepas dipercayai lemas di dalam longkang di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan, di sini semalam.
Menurut Siti Aishah, anak sulungnya, Mohd Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12, turut mengalami perubahan apabila kerap tidur dan berdengkur dengan bunyi yang agak berbeza daripada kebiasaan sejak beberapa hari lalu.
“Lalu saya ajarnya supaya membaca doa-doa sebelum tidur. Sebelum ini arwah tidak pernah berdengkur seperti itu.
“Namun, kami tidak menyangka ia petanda yang kami akan kehilangan dia,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Kulim, malam tadi.
Katanya, Mohd Zafril tidak ke sekolah semalam kerana mengalami selesema sebelum mengikut bapanya, Muhamad Azrin Saidin, 35, ke sebuah rumah di taman perumahan berkenaan untuk melakukan kerja-kerja kimpalan.
“Selepas itu, mereka pulang ke rumah untuk berehat dan makan tengah hari. Pada sebelah petang, apabila ayahnya mahu menyambung kerja, arwah turut mahu mengikut.
“Ketika itu keadaan tidak hujan dan ayahnya membuat kerja, manakala arwah bermain bola bersama rakan-rakannya di padang berhampiran,” katanya.
Siti Aishah berkata, ketika hujan pada sebelah petang, suaminya menyangka Zafril berteduh di rumah rakan.
“Suami tunggu arwah balik daripada bermain bola tetapi apabila tidak pulang, suami pergi mencarinya di kawasan padang dan menyangka kemungkinan arwah berada di rumah kawannya, sebelum menerima berita sedih itu,” katanya.
Katanya, kali terakhir dia melihat anaknya adalah ketika pulang bersama bapanya pada tengah hari sebelum keluar semula untuk bermain bola.
Siti Aishah berkata, Mohd Zafril yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik juga seorang anak yang ceria, suka memancing dan gemar meluangkan masa bersama adik-beradiknya.
Katanya, dia dan suami sebelum ini merancang untuk menghantar anaknya itu ke sekolah tahfiz di Karangan, di sini bagi menyambung pengajian ke tingkatan satu, tahun depan.
“Saya kini hamil anak keempat dan sudah tujuh bulan. Kehilangan ini amat berat, namun saya reda dengan ketentuan Allah. Arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Sungai Karangan,” katanya.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan empat kanak-kanak maut selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Desa Kayangan, semalam.
Dua daripada mangsa berusia sekitar 12 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi berusia lapan dan 10 tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Mangsa dikenal pasti sebagai Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12, dan adik tirinya, Muhammad Arif Naufan Abdullah, 8, serta dua lagi iaitu Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12, dan Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Anak mengadu tak boleh tidur sebelum lemas’ appeared first on Kosmo Online.





