
SENI teater bukan sahaja menjadi wadah untuk menzahirkan kreativiti, malah mampu menyatukan komuniti menerusi penglibatan masyarakat dalam menghasilkan sesebuah pementasan.
Di Lenggong, Perak, semangat kebersamaan itu diterjemahkan menerusi penglibatan anak muda dan penduduk setempat dalam pementasan teater eksperimental Shamsinar yang mengetengahkan isu fitnah, kebenaran dan keharmonian dalam kepelbagaian.
Wakil produksi, Mohd. Suhaimi Ahmad berkata, pementasan itu memberi ruang besar kepada belia untuk mengenali seni teater serta mencurahkan ekspresi kreatif mereka.
“Keseluruhan teater Shamsinar ini dijayakan oleh anak-anak muda komuniti berusia antara 14 hingga 29 tahun.
“Satu ruang besar telah diberikan kepada mereka untuk berkarya dan mencurahkan seluruh ekspresi seni secara teratur dan sistematik, walaupun proses pembelajarannya singkat tetapi amat bermakna,” katanya kepada CitaRasa.
Shamsinar merupakan naskhah berdurasi kira-kira 30 minit daripada koleksi peribadi Mohd. Suhaimi yang sarat dengan nilai estetika dan falsafah pemikiran.
Naskhah itu kemudiannya dijadikan teks uji kaji kepada pelakon muda berusia belasan tahun bagi mengetengahkan idealisme keharmonian dalam kepelbagaian, selain sesuai dipentaskan sempena sambutan Bulan Kenegaraan.

Shamsinar mengisahkan seorang wanita muda bernama Shamsinar yang difitnah melakukan onar dalam sebuah negara bernama Irawan Sukma.
Watak Shamsinar menjadi lambang seorang individu yang berusaha membersihkan namanya daripada kemusnahan akibat fitnah, manakala tema Lisanul Haq pula membawa mesej mengenai kepentingan mempertahankan kebenaran.
Pementasan itu turut mengangkat tanggungjawab masyarakat untuk menolak fitnah dan berita rekaan yang boleh menimbulkan perpecahan.
“Setiap insan bertanggungjawab menghakis berita-berita fitnah dan rekayasa dengan jelas dan terang supaya masyarakat tidak berpecah-belah.
“Dalam masa sama, semangat patriotisme dan taat kepada pemerintah serta negara turut menjadi antara nilai yang ingin disampaikan menerusi pementasan ini.
“Sebarang pengkhianatan terhadap pemerintah adalah dilarang dan perkara itu jelas digambarkan menerusi perwatakan Habib dalam teks ini,” katanya.
Dalam pada itu, watak Shamsinar dilakonkan oleh dua remaja yang masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri, manakala keseluruhan pelakon dipilih menerusi sesi uji bakat.
Pementasan itu merupakan pengalaman pertama kebanyakan anak muda terbabit yang pada awalnya tidak mempunyai asas dalam teater serta kurang keyakinan diri.
Mohd. Suhaimi berkata, cabaran terbesar sebagai penulis dan pengarah adalah apabila pelakon dan ahli produksi tidak mempunyai pengalaman asas dalam teater.
“Pada mulanya, mereka sangat pasif dan tiada keyakinan diri kerana kali pertama membuat persembahan di hadapan khalayak.
“Namun, selepas melalui proses pembelajaran dan pembangunan mereka sedikit sebanyak mendapat input serta memahami perkembangan teater itu sendiri,” katanya.
Selain lakonan, kumpulan produksi muda itu turut diberi peluang mengendalikan aspek teknikal termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital bagi menghasilkan video.
Pementasan di Wakaf Che Teh Fatimah, Kampung Sira itu turut mendapat sokongan penduduk pelbagai kaum yang berganding bahu menyiapkan pentas terbuka serta memasang Jalur Gemilang.
Malam manifestasi seni itu turut diserikan dengan persembahan muzik daripada pelbagai etnik, selain kehadiran penonton daripada pelbagai latar belakang termasuk masyarakat bukan Melayu.
Mohd. Suhaimi berharap usaha berkenaan dapat diteruskan bagi menjadikan Lenggong sebagai pusat seni yang berkualiti dan berdaya saing.
“Harapan itu sangat besar dan memerlukan sokongan semua pihak untuk bekerjasama dalam kelompok teater yang didominasi oleh anak muda supaya Lenggong dapat berkembang sebagai pusat seni,” katanya.
The post Anak muda Lenggong pentaskan teater Shamsinar bertema kenegaraan appeared first on Kosmo Digital.






