Popular sahaja tidak cukup untuk menang pilihan raya

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 10:13 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Popular sahaja tidak cukup untuk menang pilihan raya

MELAKA: Kekuatan akar umbi PKR ketika ini diakui masih belum cukup kukuh untuk diterjemahkan kepada kemenangan dalam pilihan raya.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata, pilihan raya menjadi medan untuk mengukur sejauh mana sokongan rakyat terhadap perjuangan parti, sekali gus menilai keberkesanan pendekatan politik yang digunakan.

“Nak yakinkan rakyat ini kena bermula daripada bawah. Popular saja tak cukup. Tetapi setelah kita lalui Pilihan Raya Negeri Sabah, Johor dan Negeri Sembilan, ada satu hal yang saya rasa semua orang setuju. Bahawa kekuatan kita di akar umbi itu belum cukup kuat untuk kita menterjemah dalam bentuk kemenangan.

“Oleh itu, jangan putus asa, terima kenyataan yang pahit ini. Rakyat telah memberi kita satu isyarat yang jelas dan itu menuntut kita untuk bangun semula, bercakap bagi pihak rakyat, dan melihat semula apakah pendekatan, strategi, dan kita perlu datangkan satu naratif yang lebih ampuh yang boleh meyakinkan rakyat untuk kembali memberi kepercayaan kepada kita, Insya-Allah,” katanya ketika berucap pada Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Tambah Muhammad Kamil, sejarah perjuangan PKR membuktikan parti itu pernah bangkit daripada titik terendah sebelum mencipta perubahan besar dalam landskap politik negara.

“Perjalanan kita bermula pada 1998 dan kita pernah berada pada titik terendah pada 2004. Namun, 10 tahun selepas 1998, kita berjaya mencipta gelombang baharu pada 2008.

“Buat pertama kali setelah sekian lama, kita berjaya menafikan penguasaan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen,” katanya.

Beliau berkata, satu lagi kejayaan besar dicapai 10 tahun kemudian apabila perubahan kerajaan berlaku buat kali pertama menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

“Sepuluh tahun selepas 2008, iaitu pada 2018, buat pertama kali dalam sejarah kita berjaya menumbangkan rejim UMNO-BN.

“Sebab itu, jangan gusar dan jangan bersedih. Kuatkan semangat, tekad serta azam kita. Insya-Allah, 10 tahun selepas 2018, kita mampu mencipta satu lagi kejayaan untuk Keadilan dan rakyat Malaysia,” katanya.- UTUSAN

The post Popular sahaja tidak cukup untuk menang pilihan raya appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved