
PETALING JAYA – “Prasekolah kena tolak, Kemas pun tak dapat. Tahun depan lima tahun nak hantar mana?.”
Demikian antara luahan ibu bapa yang tular di media sosial selepas mendakwa berdepan kesukaran mendapatkan tempat untuk anak mereka di institusi pendidikan prasekolah bagi sesi persekolahan tahun depan.
Seorang pengguna mendakwa, permohonan prasekolah anaknya ditolak dan pilihan yang tinggal adalah menghantar ake tadika swasta dengan kos yuran lebih tinggi.
“Prasekolah kena tolak, kemas pun tak dapat. Tahun depan lima tahun nak hantar mana. Swasta mahal dengan ekonomi macam ini sekarang,” luahnya.
Seorang lagi ibu berseloroh dengan memberitahu dia dan suami terpaksa mendaftarkan anak mereka di prasekolah swasta selepas permohonan ke sekolah yang dikehendaki tidak berjaya.
“Kalau tak jadi belajar di rumah (homeschool) je…tapi enam tahun wajib hantar. Aku malam hari daftar tu pukul 3 pagi,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pengguna lain menyarankan ibu bapa yang tidak memperoleh tempat di prasekolah kerajaan supaya mencari tadika swasta yang menawarkan yuran bersesuaian dengan kemampuan.
“Pasti antara swasta yang murah,” katanya.
Namun, seorang ibu bapa mengingatkan supaya keluarga tidak memaksa diri menghantar anak ke tadika swasta sekiranya yuran terlalu membebankan.
Menurutnya, kanak-kanak berusia lima tahun tidak semestinya perlu dihantar ke tadika swasta sekiranya keadaan kewangan keluarga belum mengizinkan.
“Jangan sebab nak ikut orang sampai sanggup gadai barang kemas semata-mata nak masukkan anak sekolah swasta yang mahal sampai RM1,200 untuk enam bulan. Kalau tak ada bajet, bagi dia rehat dulu, tunggu umur enam tahun. Perlahan-lahan simpan duit,” katanya. – KOSMO! ONLINE.
The post ‘Anak nak ke prasekolah kena tolak, Kemas pun tak dapat’ appeared first on Kosmo Digital.





