
PETALING JAYA – “Sofiya, along tak tahu macam mana nak proses aok (kamu) dah takde, Armaan takde, Naza takde”.
Itu luahan Mohd Hafiz Rifqi Mohd Kazwan, 33, berhubung pemergian adiknya, Allahyarham Nur Atiqah Sofiya, 32, yang maut akibat kemalangan bersama suami, Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, dan anak mereka, Muhammad Armaan Nazeef, 4.
Menerusi hantaran pada akaun Thread Iqiekazaman, dia merasakan pemergian ketiga-tiga mangsa ibarat mimpi selain menceritakan kebaikan adiknya yang mesra dipanggil Sofiya.
“You will never know how much you love someone until you lost them (kita tak akan pernah tahu betapa dalamnya kita menyayangi seseorang sehinggalah kita kehilangan mereka).
“Bila baca berita rasa macam mimpi, betul ke? Betul ke? Betul ke? Sampai lah along sendiri kena kuatkan diri buat pengecaman jenazah. Allah pelihara aok, Naza dan Armaan, muka cantik jelas,” katanya pada hantaran tersebut.
Mohd Hafiz Rifqi berkata, sewaktu pengecaman jenazah, dia sempat bertanya dengan doktor sama ada mereka bertiga merasai kesakitan sewaktu kemalangan itu.
“Along dengar penjelasan doktor forensik tentang kecederaan yang berlaku, tapi along tanya satu je dekat doktor. ‘Doktor, diorang rasa sakit tak doktor?’. Doktor cakap ‘tak, diorang tak rasa’. Along lega.
“Tapi sekarang along dan anak-anak along kena adapt (menyesuaikan diri) ketiadaan Armaan sebagai teman berkawan dekat rumah aki dan wan. Tukang jaga hujung minggu bawa pergi mall (pusat beli-belah) tak ada dah,” katanya.
Dia juga mengimbas kenangan selalu ‘bergaduh’ bersama adiknya dan kemudian hubungan mereka seperti biasa pada keesokan hari.
“Gaduh, bila minta tolong mesti sampai, you helped me (awak bantu saya) naikkan Sakurabakes dulu, sentiasa bagi maklum balas untuk tambah baik kedai along yang sekarang.
“And in return (sebagai balasan), I always pushed you (saya selalu dorong awak) majukan lagi kedai. I told you, your passion is baking and I glad you did pursue it (saya selalu cakap baking adalah minat awak dan saya gembira awak memilih untuk mengejarnya).
“I know many will miss your cakes including me (saya tahu ramai akan rindukan kek buatan awak, termasuklah saya). Damailah dekat sana dengan Armaan dan Naza. Nantikan kami pula di negeri abadi,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, empat maut dalam kejadian kemalangan melibatkan 11 buah kenderaan termasuk bas, lori tangki, trak pikap, kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kereta di Kilometer 110.4 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) di Temerloh, semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, kemalangan melibatkan 11 kenderaan iaitu bas ekspres, lori tangki, Toyota Alphard, Toyota Hilux, Honda CRV, dua buah Proton Saga, dua Perodua Myvi dah sebuah Perodua Aruz. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Sofiya, along tak tahu macam mana nak proses aok dah tak ada’ appeared first on Kosmo Digital.






