
TRAGEDI berdarah di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 yang meragut empat nyawa pada 31 Ogos lalu cukup menyayat hati.
Tiga sekeluarga, Muhammad Nazatul Nazmi, 32, isterinya Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, dan anak Muhammad Armaan Nazeef, empat tahun selamat dikebumikan dalam satu liang lahad Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan pukul 10.30 malam Selasa.
Menerusi satu hantaran di Threads, abang Nur Atiqah, Mohd Hafiz Rifqi, 33, sempat berkongsi keadaan jenazah ketika proses pengecaman.
"Kau takkan pernah tahu betapa kau sayangkan seseorang sehinggalah kau kehilangan mereka.
"Sofiya, Along tidak tahu bagaimana nak terima kenyataan yang kau,Armaan dan Naza sudah tiada.

"Bila baca berita rasa macam mimpi. Betul ke? Sampailah Along sendiri kena kuatkan diri buat pengecaman jenazah.
"ALLAH pelihara kau, Naza, dan Armaan. Muka cantik dan jelas. Along dengar penjelasan doktor forensik tentang kecederaan yang berlaku tetapi Along tanya satu soalan sahaja dekat doktor.
“Doktor, mereka rasa sakit tak, doktor?”
"Doktor cakap tak, mereka tak rasa. Along lega," kongsinya.
Dalam pada itu, dia beradaptasi dengan ketiadaan adik tersayang, adik ipar dan anak saudara.

"Kini Along and anak-anak Along kene sesuaikan diri dengan ketiadaan Armaan sebagai teman berkawan dekat rumah Aki dan Wan. Tukang jaga hujung minggu bawak pergi mall pun sudah tiada.
"Along tahu ramai yang akan rindukan kek awak termasuk Along. Kamu Angah buat selamanya dan ibu saudara buat anak-anak Along.
"Damailah dekat sana dengan Armaan dan Naza. Nantikan kami pula di negeri abadi. Al Fatihah," titipnya.
Jenazah tiga sekeluarga itu disembahyangkan dua kali di Masjid Saidina Ali Bin Abi Talib, Bukit Sekilau selepas dituntut waris di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Kemalangan kira-kira pukul 10 malam melibatkan 11 kenderaan termasuk empat kereta, tiga SUV, sebuah MPV, pikap, lori dan bas.






