
PETALING JAYA – Kejayaan ekonomi negara tidak seharusnya dinilai berdasarkan angka pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan dan kuasa beli rakyat, menurut Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah.
Beliau berkata, pertumbuhan KDNK sebanyak enam peratus pada suku kedua 2026, yang membawa pertumbuhan separuh pertama kepada 5.7 peratus merupakan petunjuk positif, namun manfaat pertumbuhan itu perlu dirasai rakyat.
“Pertumbuhan enam peratus pada suku kedua menunjukkan ekonomi Malaysia terus mempunyai momentum yang kukuh walaupun berdepan persekitaran global yang mencabar.
“Namun, kejayaan ekonomi tidak boleh diukur melalui angka pertumbuhan semata-mata.
“Yang lebih penting ialah peluang pekerjaan yang lebih baik, peningkatan pendapatan dan kuasa beli rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jabatan Perangkaan hari ini mengumumkan KDNK Malaysia berkembang enam peratus pada suku kedua 2026, berbanding 5.4 peratus pada suku pertama.
Pertumbuhan disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, prestasi eksport elektrik dan elektronik yang menggalakkan, serta pertumbuhan sektor perkhidmatan dan pembuatan.
Pada masa sama, pasaran buruh kekal berdaya tahan, manakala tekanan harga masih terkawal dengan inflasi pada kadar 1.9 peratus.
Prestasi ini dicapai dalam keadaan ekonomi global yang terus berdepan ketidaktentuan, termasuk kesan ketegangan geopolitik di Asia Barat terhadap harga tenaga, kos logistik dan rantaian bekalan.
Akmal menambah, kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan terus memantau perkembangan ekonomi dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kesan perkembangan luar terhadap rakyat dan perniagaan dapat ditangani dengan berkesan.
“Tumpuan MTEN fokus kepada empat langkah utama iaitu menjamin bekalan, memanjangkan tempoh bekalan, mengekang kenaikan harga dan memanfaatkan peluang ekonomi.
“Keutamaan adalah untuk memastikan bekalan kekal mencukupi, harga terkawal dan aktiviti perniagaan dapat diteruskan, di samping memanfaatkan peluang baharu daripada perubahan ekonomi dan rantaian bekalan global,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Kejayaan ekonomi bukan sekadar angka pertumbuhan – Menteri Ekonomi appeared first on Kosmo Digital.






