
KOTA KINABALU: Anak sulung kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, Datuk Al Hambra yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah melangsungkan pernikahannya pada Jumaat.
Dengan sekali lafaz, Al Hambra yang juga anak sulung daripada empat beradik, sah menjadi suami kepada pengarah sebuah syarikat swasta Datin Scarlett Suhaili Sambinding Abdullah dalam upacara akad nikah di Masjid Negeri di sini, pukul 2 petang tadi.
Selain Tun Juhar dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni, turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.
Al Hambra yang juga Pengerusi Yayasan Nur Jauhar dan pasangannya yang berasal dari Kota Belud, dinikahkan oleh Pegawai Agama Istana Seri Kinabalu Imbran Anggun dengan mas kahwin RM1,200.
“Semoga pasangan ini akan memulakan hidup berumahtangga dengan bahagia dibekalkan dengan ketabahan dalam menghadapi cabaran, ketenangan dalam menjalani hidup bersama dan kebahagiaan serta keberkatan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” kata Imbran dalam tazkirah ringkas sebelum akad nikah.
Mufti Kerajaan Negeri Sabah Datuk Bungsu@Aziz Jaafar kemudian membacakan doa memohon kesejahteraan kepada mempelai dan majlis bersurai pada 2.45 petang.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.




