johardy02/10/2026 - 10:20 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Okt - Anak syarikat milik penuh ES Sunlogy Berhad, Savelite Engineering Sdn Bhd sedang mengambil tindakan untuk menguatkuasakan penghakiman mahkamah bernilai RM1.17 juta terhadap Ecolectric Engineering Sdn Bhd selepas Mahkamah Tinggi membenarkan prosiding garnisi melibatkan Malayan Banking Berhad (Maybank).
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Savelite bagi Perintah Garnisi Tunjuk Sebab terhadap Maybank, yang dinamakan sebagai garnisi pertama Ecolectric, dalam pendengaran ex parte pada 30 September lalu, menurut pemakluman ES Sunlogy kepada Bursa Malaysia.
Mahkamah menetapkan 21 Oktober 2026 bagi pendengaran tunjuk sebab.
Perintah Garnisi atau Garnishee Order merupakan proses undang-undang yang membolehkan pihak yang memperoleh penghakiman mahkamah memohon mendapatkan bayaran daripada wang milik pihak yang berhutang di bawah penghakiman tetapi dipegang oleh pihak ketiga, seperti bank.
Dalam kes ini, Maybank dinamakan sebagai garnisi dan perlu menunjukkan sebab kepada mahkamah sebelum mahkamah memutuskan sama ada wang yang mungkin dipegang bagi pihak Ecolectric boleh digunakan untuk memenuhi penghakiman tersebut.
Savelite akan mendapatkan Perintah Garnisi Tunjuk Sebab itu dan mengatur penyerahannya kepada Maybank mengikut arahan mahkamah.
Prosiding itu menyusuli penghakiman ingkar pembelaan yang direkodkan terhadap Ecolectric pada 17 Ogos 2026 berhubung pertikaian kerja pemasangan elektrik bagi projek pembangunan kediaman di Damansara Heights.
Pertikaian projek Damansara Heights
Menerusi penghakiman itu, Ecolectric diperintahkan membayar RM1,174,327.72 kepada Savelite dalam tempoh 14 hari. Jumlah itu merupakan RM1,234,551.27 yang diputuskan mahkamah selepas ditolak wang tahanan RM60,223.55 yang dipegang Savelite.
Pertikaian itu berpunca daripada surat anugerah bernilai kira-kira RM1.65 juta bertarikh 25 April 2022, apabila Savelite melantik Ecolectric sebagai subkontraktor untuk membekalkan tenaga kerja bagi pemasangan perkhidmatan elektrik untuk projek pembangunan kediaman 54 unit di Damansara Heights.
Savelite mendakwa Ecolectric gagal atau enggan menempatkan tenaga kerja yang mencukupi atau berkemahiran di tapak, menyebabkan kerja tidak dapat dilaksanakan mengikut program yang dipersetujui.
Savelite memfailkan writ saman dan penyata tuntutan terhadap Ecolectric pada Julai 2026. Menurut pemakluman ES Sunlogy, Ecolectric tidak memasukkan kehadiran dalam tempoh 14 hari selepas writ saman dan penyata tuntutan diserahkan serta gagal memfail dan menyerahkan pembelaannya dalam tempoh ditetapkan.
Mahkamah Tinggi kemudian merekodkan penghakiman ingkar pembelaan terhadap Ecolectric pada 17 Ogos 2026. Selain bayaran RM1.17 juta, mahkamah memerintahkan ganti rugi am ditaksir dan kos RM528 dibayar oleh Ecolectric kepada Savelite.
ES Sunlogy sebelum ini berkata Savelite telah membuat rosot nilai penuh sebanyak RM3.17 juta ke atas jumlah terhutang daripada Ecolectric berkaitan projek Damansara Heights dan Old Klang Road, mencerminkan penilaian kumpulan terhadap kebolehkutipan jumlah tersebut. - DagangNews.com






