sarah27/10/2026 - 18:23 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Okt - Saliran Group Bhd memaklumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, Saliran Industrial Supplies Sdn Bhd (SIS), berdepan permohonan injunksi daripada Tripeer Distribution Sdn Bhd bagi menghalang tindakan penggulungan syarikat berhubung tuntutan bayaran RM628,352.62.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Saliran berkata, SIS menerima saman pemula bertarikh 26 Oktober 2026 daripada Tripeer pada 27 Oktober, bersama afidavit sokongan dan perakuan segera yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Menurut kumpulan itu, pertikaian berkenaan berpunca daripada notis statutori yang dikeluarkan SIS pada 1 Oktober 2026 mengikut Seksyen 466(1) Akta Syarikat 2016, bagi menuntut bayaran RM628,352.62 yang didakwa masih terhutang oleh Tripeer setakat 22 September 2026 bagi barangan yang dijual dan perkhidmatan yang diberikan.
Bagaimanapun, Tripeer mempertikaikan jumlah tersebut dan memohon perintah injunksi bagi menghalang SIS daripada memfailkan atau meneruskan petisyen penggulungan berdasarkan notis statutori atau jumlah tuntutan berkenaan.
Tripeer berhujah bahawa jumlah tersebut dipertikaikan dengan niat baik dan notis statutori itu tidak sepatutnya digunakan sebagai asas untuk memulakan prosiding penggulungan syarikat.
Saliran berkata, pendengaran saman pemula itu dijadualkan berlangsung pada 28 Oktober 2026, jam 9 pagi, dengan tiada petisyen penggulungan difailkan terhadap Tripeer atau sebarang perintah mahkamah dikeluarkan setakat tarikh pengumuman tersebut.
Lembaga pengarah Saliran berpandangan prosiding itu tidak dijangka memberi kesan material terhadap kedudukan kewangan atau operasi kumpulan kerana saman pemula berkenaan tidak mengandungi sebarang tuntutan kewangan terhadap SIS.
Bagaimanapun, SIS berpotensi menanggung kos guaman, kos yang diperintahkan mahkamah serta risiko kelewatan atau kegagalan mendapatkan semula jumlah yang dituntut. Saliran berkata, SIS bersama peguamnya akan mengambil langkah sewajarnya bagi mempertahankan kepentingan syarikat dan memaklumkan sebarang perkembangan penting kepada Bursa Malaysia.- DagangNews.com




