Pemegang saham Paragon Globe lulus jualan tanah RM398 juta kepada DayOne untuk pusat data di Johor

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 5:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pemegang saham Paragon Globe lulus jualan tanah RM398 juta kepada DayOne untuk pusat data di Johor Image from: Pemegang saham Paragon Globe lulus jualan tanah RM398 juta kepada DayOne untuk pusat data di Johor sarah27/10/2026 - 17:48 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Okt - Paragon Globe Bhd (PGB) mendapat kelulusan pemegang saham bagi menjual tanah seluas 65 ekar di Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, Johor, kepada DayOne Data Centers Malaysia I Sdn Bhd pada harga RM398.11 juta untuk pembangunan pusat data.

 

Kelulusan itu diperoleh pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) hari ini, dengan 99.99% undian menyokong cadangan pelupusan berkenaan yang dijangka menghasilkan keuntungan bersih dianggarkan sebanyak RM187.43 juta kepada kumpulan.

 

Dalam kenyataan hari ini, PGB berkata, tanah tersebut pada asalnya diperuntukkan bagi pembangunan perindustrian fasa pertama merangkumi 88 unit kilang dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM419.10 juta, namun kumpulan memilih untuk menjualnya bagi mendapatkan pulangan lebih baik setelah mengambil kira risiko pembangunan.

 

Pengerusi Eksekutif PGB, Datuk Seri Edwin Tan Pei Seng berkata, keputusan menjual tanah itu membolehkan kumpulan mengelakkan penggunaan modal yang besar bagi pembangunan kilang, selain menyalurkan dana kepada projek sedia ada dan mengurangkan pinjaman.

 

"Daripada mengikat tunai kami selama bertahun-tahun untuk membina kilang di tapak ini, kami memutuskan bahawa menerima tawaran yang baik bagi tanah berkenaan merupakan pilihan lebih bijak.

 

"Selepas transaksi selesai, kami boleh menyalurkan lebih banyak modal kepada projek sedia ada, menambah aset yang menjana pendapatan sewaan serta mengurangkan sebahagian pinjaman. Kami mahu terus berkembang, tetapi kecairan mesti sentiasa menjadi keutamaan," katanya.

 

Daripada hasil jualan RM398.11 juta itu, PGB memperuntukkan RM146 juta bagi membiayai projek sedia ada, termasuk RM90 juta untuk Calia Residences by PGB dan Kensley Square @ Kensington Parkview, manakala RM56 juta lagi bagi PGB-GSP AutoPark, PGB Hostel Phase 2 dan Desa 27 by PGB yang dirancang sebagai aset pelaburan untuk menjana pendapatan sewaan berulang.

 

Kumpulan turut memperuntukkan RM56 juta bagi membayar sebahagian pinjaman bank yang dijangka menghasilkan penjimatan faedah kira-kira RM3.09 juta setahun, selain RM57.10 juta untuk pemerolehan tanah atau hartanah pada masa depan.

 

Menurut PGB, transaksi itu dijangka meningkatkan aset bersih sesaham daripada 64 sen kepada 89 sen, manakala nisbah hutang kepada ekuiti dijangka berkurangan daripada 1.06 kali kepada 0.68 kali, berdasarkan kedudukan kewangan teraudit pada 31 Mac 2026 dan andaian transaksi diselesaikan.

 

Tanah yang terletak dalam kawasan Gerbang Nusajaya dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) itu akan digunakan oleh DayOne untuk pembangunan pusat data. PGB telah menerima RM228.91 juta atau 57.5% daripada harga jualan setakat 28 September 2026, manakala transaksi disasarkan selesai pada separuh kedua 2027, tertakluk kepada pemenuhan syarat serta kelulusan berkaitan.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved