sarah27/10/2026 - 16:48 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Okt - Kerajaan sedang mengambil langkah undang-undang termasuk memfailkan saman sivil terhadap MyEG dan Zetrix AI Bhd susulan kegagalan syarikat terbabit melangsaikan tunggakan kutipan hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berserta penalti dalam tempoh yang ditetapkan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tindakan itu menyusul selepas kelewatan pemindahan hasil kerajaan selama hampir lima bulan, dari 19 Mei hingga 4 Oktober 2026, meskipun pelbagai peringatan dan usaha penyelesaian telah dilakukan.
Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan melalui JPJ telah mengeluarkan sebanyak 35 notis peringatan, mengadakan empat sesi libat urus serta perbincangan khas dengan syarikat terbabit bagi menuntut pembayaran tunggakan berkenaan.
"Kerajaan kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang termasuk tuntutan saman sivil terhadap pihak syarikat berikutan kegagalan melangsaikan keseluruhan jumlah tunggakan beserta penalti dalam tempoh yang ditetapkan," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2027 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Loke, selepas diberikan peringatan berulang kali, MyEG mengemukakan cek RHB Bank Berhad bertarikh 30 September 2026 bernilai RM231 juta bagi menyelesaikan tunggakan kutipan hasil kerajaan sehingga 17 Ogos 2026.
Bagaimanapun, cek berkenaan tidak dapat ditunaikan, sekali gus menyebabkan tunggakan hasil kerajaan masih belum diselesaikan.
Susulan itu, JPJ menerusi surat bertarikh 2 Oktober 2026 menamatkan perkhidmatan MyEG dan Zetrix AI Bhd sebagai ejen pemungut hasil JPJ, berkuat kuasa 5 Oktober 2026.
JPJ turut membuat laporan polis pada 7 Oktober 2026 berhubung kegagalan kedua-dua syarikat memindahkan kutipan hasil kerajaan.
Loke menegaskan bahawa wang kutipan hasil kerajaan tidak boleh digunakan sebagai sebahagian daripada dana operasi syarikat, manakala sebarang kelewatan menyerahkan wang berkenaan dianggap pelanggaran serius terhadap terma perjanjian.
Kerajaan juga menetapkan bahawa keseluruhan tunggakan, termasuk penalti pemindahan lewat, mesti dijelaskan sepenuhnya sebelum sebarang permohonan pelanjutan atau pertimbangan untuk meneruskan operasi diberikan.
Tunggakan RM314 juta sebelum ini belum dijelaskan
Sebelum ini, DagangNews.com pada 22 Oktober melaporkan bahawa Zetrix AI masih belum membuat sebarang pembayaran bagi menyelesaikan tunggakan hasil kutipan JPJ berjumlah RM314 juta, hampir tiga minggu selepas penggantungan perkhidmatannya sebagai ejen kutipan.
Pada 8 Oktober, Zetrix AI turut mengesahkan kepada Bursa Malaysia bahawa tunggakan RM314 juta itu telah direkodkan sebagai liabiliti dalam kunci kira-kiranya, manakala perbincangan mengenai cadangan penyelesaian masih berlangsung dengan pihak berkuasa.
Dalam perkembangan berkaitan, DagangNews.com pada 13 Oktober melaporkan bahawa polis telah merakam keterangan enam saksi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kegagalan menyerahkan hasil kerajaan. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dengan belum ada penemuan salah laku jenayah diumumkan ketika laporan itu diterbitkan.
Isu tunggakan berkenaan turut menjadi subjek siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seperti dimaklumkan Zetrix AI kepada Bursa Malaysia pada 15 Oktober. Syarikat itu menyatakan operasinya tidak terjejas dan memberi jaminan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa.
Perkembangan terbaharu mengenai tindakan saman sivil itu menandakan langkah susulan kerajaan untuk mendapatkan semula kutipan hasil JPJ yang masih tertunggak, termasuk penalti pemindahan lewat.- DagangNews.com






